CHINA: Data ekonomi utama China minggu ini berkemungkinan menunjukkan pertumbuhan yang semakin lemah pada penghujung tahun lepas, selepas dasar sifar Covid ditamatkan secara tiba-tiba, walaupun perhatian segera beralih kepada lantunan kuat pada 2023.
Lonjakan jangkitan pada Disember telah menjejaskan ekonomi, dengan data rasmi berkemungkinan menunjukkan kemerosotan dalam aktiviti ke tahap yang setanding ketika Shanghai dikurung pada musim bunga tahun lalu.
Ini bermakna, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku terakhir 2022 berkemungkinan perlahan kepada 1.6 peratus, iaitu kurang daripada separuh yang dicatatkan pada suku ketiga, menurut anggaran median dalam tinjauan ahli ekonomi Bloomberg.
KDNK setahun penuh mungkin meningkat hanya 2.7 peratus tahun lepas, jauh di bawah matlamat kerajaan iaitu sekitar 5.5 peratus, dan sedikit di atas peningkatan 2.2 peratus yang dicatatkan pada 2020 apabila wabak Covid mula melanda.
Sebahagian besar ekonomi China merudum akibat langkah kawalan Covid-19 pada 2022, daripada sekatan berskala penuh di tempat seperti Shanghai kepada sekatan yang menyukarkan penduduk tempatan untuk melakukan perjalanan dan kilang memindahkan barangan mereka apabila jangkitan meningkat.
Bank Rakyat China menambah tunai daripada jangkaan ke dalam sistem perbankan melalui pinjaman polisi dan mengekalkan kadar tidak berubah semalam, menunjukkan sikap berhati-hati kerana ia berusaha untuk mengelakkan terlalu merangsang ekonomi yang beralih ke aktiviti normal.
Aktiviti kilang hampir tidak berkembang pada Disember disebabkan rantaian bekalan dan masalah logistik berikutan lonjakan kes Covid-19.
Permintaan global yang lemah untuk eksport juga telah menjejaskan pengeluaran, dengan tanda-tanda ia akan terus mengheret ekonomi tahun ini.
Pakar ekonomi menjangkakan pengeluaran perindustrian meningkat pada kadar paling lemah sejak April, apabila ia turun 2.9 peratus disebabkan penutupan di Shanghai dan tempat lain. – AGENSI