Caj perubatan meningkat, premium insurans dijangka naik - Utusan Malaysia

Caj perubatan meningkat, premium insurans dijangka naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AmInvestment Bank menjangkakan peningkatan nilai tuntutan perubatan bagi insurans dan takaful hayat ekoran kenaikan caj hospital dan perubatan akibat tekanan inflasi. 

Penganalisisnya, Kelvin Ong berkata, rentetan itu pihaknya tidak menolak kemungkinan syarikat insurans dan takaful hayat menaikkan premium atau sumbangan polisi sedia ada mahupun yang baharu.

Katanya, tuntutan perubatan berpotensi lebih tinggi ke atas perniagaan takaful nyawa dan keluarga pada tahun ini disebabkan kos perbelanjaan perubatan turut meningkat.

“Tahun 2023 dijangka menyaksikan peningkatan dalam tuntutan perubatan bagi perniagaan insurans dan takaful hayat dengan kenaikan caj hospital dan perubatan.

“Sehubungan itu, kami tidak menolak kemungkinan syarikat insurans dan takaful hayat menaikkan premium atau sumbangan polisi sedia ada, berkuat kuasa dan baharu bagi mencermikan keadaan tuntutan sejak kebelakangan ini,” katanya dalam satu nota kajian.

Menurut Kelvin, premium atau sumbangan kasar bagi insurans dan takaful hayat dan keluarga dijangka menguncup tahun ini berbanding 2022.

“Ini disebabkan oleh pelaksanaan FRS 17 pada 1 Januari lalu yang akan menyaksikan hanya premium hayat/takaful keluarga/caruman yang diiktiraf sebagai pendapatan.

“Bagaimanapun segmen insurans dan takaful am dijangka mencatatkan pertumbuhan sederhana antara pertengahan satu angka atau dua angka yang rendah bagi premium atau sumbangan kasar pada tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Kelvin berkata, berbeza dengan insurans dan takaful hayat, harga segmen insurans am, dijangka kekal kompetitif pada tahun ini ekoran jangkaan tuntutan stabil bagi insurans dan takaful am.

“Dengan pembukaan semula ekonomi dan trafik atas jalan lebih tinggi, kami melihat tuntutan bagi insurans motor normal sepenuhnya, oleh itu, kami tidak menjangkakan tuntutan lebih tinggi bagi perniagaan insurans/takaful am pada 2023,” katanya.

Menurut beliau,  berkuat kuasa 1 Oktober tahun lalu, harga produk bagi segmen kebakaran dan motor telah diliberalisasi di bawah Fasa 2A di mana tarif bagi produk kebakaran dikurangkan sebanyak 15 peratus.

Jelasnya, harga bagi produk kebakaran tanpa tarif juga dipinda sehingga kurang 30 peratus daripada tarif baharu dan menarik keluar keupayaannya untuk mengenakan caj premium sehingga 30 peratus daripada tarif kebakaran.

“Sementara itu, fleksibiliti harga bagi segmen motor telah dinaikkan sehingga 15 peratus, lebih tinggi berbanding 10 peratus daripada tarif di bawah Fasa 2.

“Fasa 2B pula akan bermula pada 1 Julai 2023 yang mana bakal menyaksikan fleksibiliti harga lebih besar bagi produk insurans motor dan kami menjangkakan liberalisasi secara berperingkat ini akan memberi tekanan kepada harga insurans motor dan kebakaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya