PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan perletakan jawatan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Seri Asri Hamidon sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutifnya berkuat kuasa 5 Januari 2023.
TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Asri turut meletakkan jawatan lain yang dipegangnya dalam syarikat berkenaan berkuat kuasa tarikh sama.
“Beliau turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa tender pengarah, ahli jawatankuasa pencalonan dan imbuhan syarikat serta ahli jawatankuasa pelan insentif jangka panjang pengarah.
“Lembaga Pengarah TNB dengan ini menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Asri bin Hamidin @ Hamidon di atas sumbangannya kepada syarikat ini,” katanya.
Disember lalu, media melaporkan kedudukan Asri, 56, yang dilantik sebagai KSP pada 2020 menjadi teka-teki apabila beliau tidak kelihatan ketika majlis sambutan hari pertama Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu.
Malah, ketika sidang akhbar selepas program taklimat dengan Perdana Menteri yang dihadiri pegawai kanan Kementerian, Anwar turut menyebut perbincangan mengenai kedudukan penasihat kewangan negara dengan KSP baharu.
Anwar juga turut menyifatkan pertukaran KSP adalah satu perubahan biasa perkara itu langsung tidak melibatkan sebarang spekulasi sebagaimana digembar gemburkan dalam media.
“Ini hanya perubahan biasa. Ia hanya melibatkan seperti soal kenaikan pangkat, perubahan jabatan, dan urusan lain yang diputuskan oleh penjawat awam diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya. – UTUSAN