SEKIRANYA anda seorang pencinta motosikal jenis skuter, anda sudah tentu tahu tentang kewujudan skuter berkapasiti besar Yamaha iaitu TMAX. TMAX mula diperkenalkan pada pertengahan 2000 dahulu, ketika itu, TMAX didatangkan dengan sesaran enjin 500cc yang menjadikannya skuter paling berkuasa untuk pasaran. Menjelang 2012 ia mula diperkenalkan dengan kuasa enjin 530cc sehinggalah sesaran enjin tersebut dipertingkatkan ke 560cc pada 2020. Namun menjelang 2022, TMAX dipertingkatkan lagi teknologi enjin dan elektroniknya dengan memperkenalkan TMAX Tech MAX.
Yamaha TMAX 560 Tech MAX ini dikatakan antara variasi terbaik jenis skuter sama ada daripada Yamaha atau punjenama-jenama yang lain.
PENAMPILAN
Sebagai makluman, pasaran tempatan hanya akan disajikan dengan model Tech MAX dan bukan model asas, serta ia adalah variasi CKD dan bukan jenis import sepenuhnya (CBU). TMAX Tech MAX adalah skuter berstruktur besar dan mempunyai kuasa enjin yang sudah tentu menjanjikan pecutan dan meluncur dengan lajunya atas lebuh raya Malaysia.
Rekaannya yang menampilkan DNA perlumbaan daripada Yamaha sangat menjadikan model ini impian ramai. Lampu hadapannya yang menyerupai jentera-jentera sporty seperti R1M, R7, yang jelas menjanjikan keterujaan sesiapa yang melihatnya.
Pelana duduknya menampakkan ia sebuah skuter serius yang boleh ditunggang beratus kilometer serta menjanjikan keselesaan ketika penunggangan jarak jauh. Mata anda juga akan tertumpu kepada paparan meter TFTnya yang jelas membuktikan inilah model yang terkini. Model sebelum ini menggunakan meter analog berkembar serta paparan LCD yang terletak di antara dua meter analog itu tadi.
Sebaik sahaja anda mula mencuba tombol pencari maklumat, anda akan dapati TMAX ini didatangkan dengan pelana boleh laras suhu, pemegang boleh laras suhu, skrin penghadang angin yang boleh dilaraskan secara elektronik, sistem pengawalan luncur (auto cruise control), suis atau tombol pada bar pemegang yang mempunyai sinar lampu dasar dan seperti kebanyakan skuter masa kini, kebolehan menghidupkan enjin skuter automatik tanpa kunci fizikal.
Penggunaan penyerap hentakan hadapan jenis terbalik dan berwarna keemasan sekali lagi jelas menunjukkan latar belakang rekaan skuter ini yang lebih menjurus ke arah reka bentuk sporty.
Tayar standard TMAX Tech MAX ini pula adalah daripada jenama Bridgestone Battlax, sekali lagi mempamerkan betapa seriusnya model ini untuk digunakan secara agresif atas jalan raya.
Apabila dinyalakan enjinnya, ekzos TMAX ini sungguh merdu dan sangat menimbulkan keterujaan dengan bunyi dua silinder DOHC yang menghasilkan 47.6hp pada aras 7,500 rpm dan 55.7 Nm kuasa tork dihasilkan pada tahap 5,250 rpm.
PENUNGGANGAN
Di sini saya ingin menyatakan bahawa ini adalah hasil pandu uji yang dilakukan oleh seorang yang mempunyai ketinggian 183 sentimeter dan hasil tunggang uji mungkin mendapat reaksi atau hasil yang berbeza berbanding orang lain.
Setelah mengambil kira perkara ini, ketinggian fizikal saya ternyata tidak serasi dengan TMAX kerana kedudukan bar pemegang yang agak rendah, kedudukan corong tangki bahan api yang berada di pangkal pelana dan cermin penghadang angin yang pada tahap ketinggian maksimumnya, betul-betul berada pada paras mata saya.
Tiga faktor ini ternyata membuatkan sesi-sesi tunggang uji saya tidak berada dalam keadaan yang saya inginkan. Kedudukan penunggangan yang membuat saya terbongkok, akibat daripada kedudukan corong mengisi minyak berada di pangkal tempat duduk, maka saya terpaksa duduk sedikit kebelakang untuk betul-betul duduk di atas pelananya yang juga agak keras dan mula memberikan masalah setelah lebih setengah jam menunggang. Posisi ini menyebabkan saya harus meregangkan tangan untuk mencapai kedua-dua hujung bar pemegang yang agak rendah kedudukannya. Aras tempat meletakkan kaki juga mempunyai kedudukan yang tinggi.
Kedudukan skrin penghadang angin itu pula betul-betul berada di aras pandangan mata dan apabila terpaksa menunggang dalam hujan, titik-titik hujan tersebut agak mengganggu penglihatan. Ada ketikanya saya terpaksa meninggikan badan untuk menjengah skrin tersebut.
Saya mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan sesi tunggangan yang seronok dan mengujakan, namun akibat kesakitan dan ketidakselesaan yang saya alami itu telah membuat saya seolah-olah sudah tidak mempedulikan lagi kekuatan enjinnya yang mampu mencecah kelajuan 170 ke 180 kilometer sejam dengan mudah serta lupa tentang penyerap hentakan hadapan yang begitu menakjubkan dalam keadaan jalan raya yang tidak rata. Sama ada menunggang berdua atau berseorangan, sistem penyerap hentakan tunggal yang tersembunyi di bawah jentera ini turut memberikan kestabilan dalam penunggangan yang laju ataupun perlahan.
KESIMPULAN
Harga pasaran yang diperkenalkan pada Oktober lalu iaitu RM74,998 mungkin tampak agak tinggi bagi sebuah skuter, tetapi 40 unit dalam kelompok pertama yang dibawa masuk oleh Hong Leong Yamaha, telah habis dijual sebelum ia dilancarkan lagi. Ini jelas menunjukkan bahawa TMAX Tech MAX adalah skuter idaman ramai dan kehadirannya sangat-sangat dinantikan.
Mungkin skuter ini lebih sesuai ditunggang oleh mereka yang berketinggian sekitar 167 cm atau 174 cm. – UTUSAN