Jiwa muda, pengaruh sukan lumba motosikal dunia, selekoh, konvoi dan sesi litar terbuka.
Itu antara rangkuman faktor para peminat motosikal jenis sport bike yang mencintai kelajuan, limpahan adrenalin ketika melalui selekoh dan penampilan jenama-jenama barangan yang berkait rapat dengan perlumbaan motosikal.
Yamaha tidak pernah lekang daripada mengeksploitasikan kemenangan dan kelayakan mereka dalam perlumbaan-perlumbaan besar motosikal dunia. Formula Menang pada Ahad, dijual pada Isnin (Win on Sunday, sell on Monday) telah terpakai sejak zaman 60-an lagi. Para peminat motosikal kategori ini akan sentiasa mengikut gaya tunggangan, jenama atau model motosikal yang sama dengan idola mereka, atau setidak-tidaknya menggunakan skim warna yang sama dengan jentera lumba yang mereka minati.
PENAMPILAN
R15M adalah model yang ditambah baik selepas model sebelumnya iaitu R15. Dari segi reka bentuk, ia ternyata meminjam aura kehebatan rekaan jentera lumba Kejuaraan Superbike Dunia dan MotoGP yang juga diguna pakai untuk jentera jalanan super bikes seperti R1M (nama model untuk model-model sport bike yang lebih kecil sesaran enjinnya seperti R7, R6 atau R25 (250cc) dan kini R15M.
Satu tindakan bijak Yamaha ialah apabila menggunakan terus skim warna motor tunggangan Fabio Quartararo, juara MotoGP 2021 yang diharapkan dapat menggantikan aura kehebatan Valentino Rossi yang bukan sahaja juara sembilan kali MotoGP tetapi turut menaikkan nama dan penjualan motosikal-motosikal Yamaha.
Sekiranya anda baru berada dalam dunia pekerjaan dan kenderaan pertama anda adalah motosikal, sudah tentu ia bukan sahaja menjadi kenderaan anda untuk ke mana-mana, malah ia melambangkan gaya hidup anda. Ia akan digunakan untuk aktiviti sosial, berkumpul dengan rakan-rakan sebaya atau pemilik motosikal jenama dan model yang sama. Hakikatnya, pemilihan terhadap model motosikal berimej sukan lumba ini sudah tentu menjadi pilihan utama sekiranya harga jualannya mampu dimiliki.
Model-model motosikal sport bikes 1000cc sudah tentu bukan pilihan utama, tambahan pula harga cukai import adalah sangat tidak masuk akal dan harga jualannya sudah tentu mencapai harga sebuah rumah dua tingkat yang baharu.
PENUNGGANGAN
Sebaik sahaja anda duduk dan memegang bar pemegang, anda memang dapat merasakan aura sport bike. Kedudukan pelana yang tinggi, bar pemegang rendah yang membuat anda tertunduk dan pemijak kaki yang tinggi memerlukan anda melipat kakiuntuk memijaknya.
Pandangan anda yang bakal tertumpu pada bahagian kokpit’, ternyata membuatkan peminat motor sukan lumba tersenyum kerana ia menyerupai jentera-jentera lumba dengan meter digital LCD penuh, tema ‘perlumbaan’, tapak bar pemegang yang berlubang-lubang, selain mirip jentera lumba, ia bertindak sebagai faktor pengurangan berat keseluruhan. Pangkal penyerap hentakan hadapan juga turut menggunakan skim warna perlumbaan iaitu biru.
Selepas menekan gear pertama, pulas sahaja pendikit jentera ini dan bagi saya, ia membawa kembali ke realiti kehidupan apabila bunyi yang datang daripada ekzos R15M ini agak ‘halus.’ Saya yakin, inilah bahagian motosikal yang pertama sekali akan diubah suai oleh bakal pemiliknya nanti. Sasaran jentera 155cc ini, ‘memuntahkan’ kuasa sebanyak 9.04 hp pada kadar 10,000 rpm dan 14.7 Nm kuasa tork pada kadar 8,500 rpm.
Namun, sebaik sahaja melalui selekoh lereng-lereng bukit di lebuh raya Karak, R15M ini mula memberikan saya sedikit nilai fantasi sebagai seorang pelumba motoGP yang hebat apabila sistem penyerap hentakan standard kilang depan dan belakangnya berfungsi dengan sangat baik. Penyerap hentakan hadapan jenis terbalik, yang berwarna keemasan seperti jenama Ohlins yang digunakan oleh hampir semua jentera-jentera perlumbaan hebat dunia, berfungsi dengan baik dan bukan hanya sekadar rupa. Penyerap hentakan tunggal belakangnya juga tidak kurang hebatnya apabila mampu menstabilkan jentera ini ketika selekoh diambil dalam kelajuan tinggi. Penggunaan kaliper brek jenis ByBre (By Brembo) di hadapan dan jenis Nissin di belakang ternyata menambah faktor estetika kepada model ini.
Penggunaan sistem gear dan slip and assist clutch menambah keseronokan menunggang motosikal ini apabila anda tidak perlu menarik tuas klac untuk menukarkan gear. Terdapat juga lampu amaran pertukaran gear, yang menyala satu persatu sehingga ke mentol kelima iaitu tahap optimum prestasi jentera dan limpahan kuasa, untuk ditukar ke gear yang lebih tinggi. Sekali lagi, fungsi ini hanya terdapat pada jentera lumba dan model-model elit berkapasiti besar.
Pemasa pusingan atau penunjuk masa perlumbaan dan sistem kawalan cengkaman (Traction Control System) turut disertakan sebagai fungsi tambahan bagi R15M ini.
R15M ini dijual bermula daripada RM 14,988 tanpa kos cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Satu tanda harga yang hanya lebih sedikit daripada 10 peratus daripada kos jentera-jentera elit tersebut.
KESIMPULAN
Hebat, mantap dan bergaya. Sama ada daripada rupa bentuk kosmetik, tahap prestasi enjin dan pengendalian. Mulakan langkah menjual motosikal 150cc anda sekarang atau gunakan bonus hujung tahun ini untuk dapatkan ‘jentera motoGP’ yang telah ‘dijinakkan’ untuk penggunaan jalan raya.
Bersiap sedialah untuk sakit pinggang, sakit bahu akibat posisi penunggangan ekstrim motosikal ini. Namun, ia sangat berbaloi dengan kepuasan ‘meleper’ seperti Quartararo atau Toprak Razgatlioglu. – UTUSAN