TNB utamakan keselamatan awam ketika banjir - Utusan Malaysia

TNB utamakan keselamatan awam ketika banjir

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa mengutamakan keselamatan orang ramai dan warga kerjanya dalam menguruskan bekalan elektrik di kawasan-kawasan dilanda banjir, termasuk tindakan memutuskan bekalan dengan segera sebaik keadaan memerlukan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Baharin Din berkata, langkah berkenaan juga bertujuan meminimumkan kerosakan pepasangan TNB dan memastikan pengurusan bekalan tenaga teratur serta berkesan demi kepentingan orang awam.

Katanya, TNB telah membuka bilik gerakan di negeri-negeri dilanda banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik, dengan warga kerjanya disenarai tugas melakukan kerja-kerja segera di kawasan berlaku gangguan akibat bencana berkenaan.

“Justeru, saya menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang untuk tindakan segera demi keselamatan awam.

“Penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan demi keselamatan pengguna dan pekerja TNB. 

“Kami juga turut memberikan bekalan elektrik melalui set janakuasa mudah alih di pusat pemindahan sementara (PPS) yang tidak menerima bekalan daripada pencawang.

“TNB tidak berkompromi terhadap keselamatan pengguna dan warga kerjanya dalam proses pemulihan bekalan selepas banjir surut, bagi mengelak kemungkinan risiko percikan arka (flash over) dan renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan. 

Pelbagai maklumat persiapan banjir TNB itu telah disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Datuk Ir. Ts. Abdul Razib Dawood bersama para pegawainya, yang mengadakan lawatan kerja ke Bilik Gerakan Rangkaian Pembahagian (DN) di Wisma TNB Jalan Timur, Petaling Jaya pada 19 Disember 2022.

ST dimaklumkan bahawa bantuan logistik di lokasi-lokasi yang sering dilanda banjir sudah disiapkan termasuk 296 set janakuasa bergerak, 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW, 279 buah lori, 885 kenderaan pacuan empat roda, 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

Setakat 19 Disember 2022, sejumlah 238 daripada 258 PPS yang sebahagian besarnya di Terengganu dan Kelantan telah mendapat bekalan elektrik, dan TNB sedang berusaha menghantarkan set janakuasa mudah alih kepada 20 lagi PPS yang sukar diakses oleh laluan darat.

Abdul Razib dalam maklum balasnya menyatakan beliau berpuashati dengan persiapan TNB menghadapi bencana banjir termasuk dalam aspek logistik, tenaga kerja, keselamatan, pengurusan aset dan komunikasi dengan pelanggan.

“Melihat kepada persiapan ini, ST berharap langkah-langkah yang telah diambil oleh TNB dalam persiapan menghadapi banjir dapat menjamin aspek penjagaan keselamatan, pengurusan bekalan, penghebahan maklumat dan sebagainya untuk kepentingan orang awam,” katanya.

ST dan TNB juga ingin menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. 

Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik-termasukyangbersalutdenganpenebatyangditenggelamiair. 

Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan ST bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya