PETALING JAYA: SIRIM Berhad mengumumkan pertukaran nama SIRIM Standards Technology Sdn. Bhd. (SIRIM SST) kepada SIRIM Calibration Sdn. Bhd. berkuatkuasa 10 November 2022.
Pertukaran ini turut melibatkan pengenalan kepada logo baharu syarikat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, strategi pertukaran nama syarikat milik penuh SIRIM Berhad yang telah bertapak di dalam industri sejak 28 tahun lalu adalah sebahagian daripada strategi SIRIM untuk memperlihatkan kekukuhan, pertumbuhan dan komitmen dalam penyediaan perkhidmatan tentukuran dan pengukuran.
“Mempunyai kecekapan teknikal yang kukuh, keupayaan tentukuran yang lengkap dan diakreditasi dengan ISO/IEC 17025, SIRIM Calibration terus memenuhi keperluan sektor pasaran yang pelbagai.
“Ia termasuk minyak dan gas, pembuatan, penerbangan, semikonduktor atau elektronik, utiliti, pendidikan, pertahanan, automotif, telekomunikasi, pertanian, penjagaan kesihatan dan pembinaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pembangunan berterusan teknologi terkini adalah keutamaan syarikat untuk memastikan SIRIM Calibration kekal di barisan hadapan bagi memenuhi kepuasan pelanggan.
“SIRIM Calibration ingin merakamkan penghargaan kepada pelanggan dan rakan perniagaan atas sokongan yang berterusan dan SIRIM Calibration akan terus memberikan perkhidmatan tentukuran dan pengukuran yang cemerlang kepada pelanggan,” ujarnya.
Ditubuhkan pada 1994, SIRIM Calibration mempunyai cawangan di enam lokasi strategik iaitu di Shah Alam, Selangor; Permatang Pauh, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuantan, Pahang; Kuching, Sarawak; dan Kota Kinabalu, Sabah. SIRIM Calibration turut menyediakan rangkaian perkhidmatan tentukuran dan pengukuran yang komprehensif di seluruh Malaysia, Singapura, China, Indonesia dan Filipina.
Skop keupayaan tentukuran SIRIM Calibration boleh dicapai melalui laman sesawang www.sirimcal.my. – UTUSAN