SERDANG: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melalui anak syarikatnya, Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd. (WLSB) menyasarkan pembukaan sebanyak 16 buah cawangan Gloria Jean’s Coffees tahun depan, membabitkan peruntukan bernilai RM8 juta.
Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, setakat ini Pernas telah meluluskan pembiayaan kepada 44 usahawan Gloria Jean’s Coffees dengan menawarkan tiga konsep francais iaitu lot kedai, kios dan coffee cart.
“Hari ini (semalam) Gloria Jean’s Coffees meluaskan sayap rangkaian dengan membuka cawangan yang ke-44 di Hospital Pengajar UPM (HPUPM). Ini merupakan francais yang dibiayai, dilatih dan dibimbing oleh Pernas.
“Pada 2023, sebanyak 16 lagi cawangan disasarkan untuk dibuka dengan Pernas memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk tujuan tersebut bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan ke-44 Gloria Jean’s Coffees di HPUPM, di sini semalam.
Gloria Jean’s Coffees merupakan satu-satunya jenama kopi gourmet antarabangsa yang menawarkan sistem francais di negara ini dan menggalakkan lebih ramai usahawan menceburi bidang tersebut seterusnya bergelar coffeepreneur.
Hasni turut menyeru agar lebih ramai usahawan dapat dilahirkan pada masa akan datang, selari dengan peranan Pernas yang terus komited membantu bakal-bakal francaisor dan francaisi dari segi khidmat nasihat, latihan, pembiayaan serta memberi maklumat industri.
“Budaya minum kopi yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat negara ini perlu diteliti secara kritis. Usahawan perlu bijak mengambil peluang dan perlu melihat senario ini sebagai peluang yang baik untuk diceburi sekali gus merancakkan lagi industri kopi premium.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memberi peluang kepada bakal usahawan supaya mereka dapat memilih jenis perniagaan untuk diceburi selain kemudahan pembiayaan dan program-program yang disediakan bagi membantu mereka yang berminat dalam bidang francais,” ujarnya.
Sementara itu, Hasni berkata, Pernas selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebelum ini dipertanggungjawabkan untuk membangunkan industri francais di Malaysia.
“Apa yang kita harapkan pada masa akan datang adalah peruntukan pembangunan yang pada waktu ini di bawah kelolaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat dipindahkan ke KUSKOP supaya peranan Pernas ini tidak hanya dari segi menyediakan latihan dan bimbingan tetapi juga pembangunan francais secara keseluruhan.
“Justeru, untuk tujuan itu kita akan kemukakan permohonan kepada pihak kementerian untuk membolehkan geran pembangunan dapat diurus oleh Pernas,” ujarnya. – UTUSAN