MPOB, Fusionex bangunkan kilang sawit pintar di Pahang - Utusan Malaysia

MPOB, Fusionex bangunkan kilang sawit pintar di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bekerjasama dengan Fusionex Group bagi membangunkan kilang sawit pintar Smart Palm Oil Mill yang dijangka mula beroperasi pada 2025.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kilang sawit pintar yang menggunakan konsep pembuangan sifar atau zero discharge merupakan hala tuju industri sawit. 

Ujarnya, perkara tersebut mampu memberi dimensi baharu dalam sektor pengilangan, terutama dari segi aspek kecekapan dan pemantauan operasi yang berterusan dan mesra pengguna. 

“Dalam era yang penuh mencabar ini, industri sawit perlu sentiasa bersedia untuk menerima perubahan dari segi penggunaan teknologi baharu. 

“Ini termasuk adaptasi konsep revolusi industri (IR4.0), penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT)  seperti teknologi pendigitalan dan automasi dalam penambahbaikan proses pengilangan sedia ada,” katanya dalam Seminar Kebangsaan Mengenai Alam Sekitar, Kualiti Pengilangan dan Penapisan Minyak Sawit 2022 (POMREQ 2022) 

Ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Zurinah Pawanteh.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pembinaan kilang yang kini dalam proses akhir mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan dibangunkan di tanah seluas 10 hektar milik MPOB di Keratong, Pahang.

Menurutnya, kilang yang beroperasi secara automasi sepenuhnya dan mempunyai kapasti sehingga 30 tan sejam itu dijangka memulakan proses pembinaan pada tahun depan.

“Keseluruhan proses akan melibatkan sensor yang akan mengesan dan menentukan buah yang masak atau tidak. 

“Pemprosesan yang menggunakan teknologi juga dapat mengurangkan jejak karbon, mendapat hasil yang lebih tinggi dan juga mengurangkan tenaga manusia sehingga 30 peratus.

“Selain itu, kilang ini juga dijangka mampu meningkatkan kadar perolehan minyak (OER) daripada sekitar 19 hingga 20 peratus ketika ini kepada 23 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya