KUALA LUMPUR: Motorist Technology Sdn. Bhd. yang mengendalikan portal jualan kereta motorist.my melancarkan Motorist Super App untuk pasaran Malaysia bagi membantu pengguna menguruskan semua aspek pemilikan kenderaan dan menggalakkan pemanduan yang selamat.
Motorist juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menambahkan ciri baharu ke dalam aplikasi terbabit iaitu maklumat mengenai penilaian keselamatan mengikut Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP).
Pengurus Besar Teknologi Motorist Sdn. Bhd. (Motorist.my), Martin Belson berkata, Motorist bukan sahaja platform dan aplikasi jual beli kereta terpakai, malah turut digunakan untuk membantu pemandu pada setiap fasa daripada permulaan pembelian, pengurusan, servis pembaikan, hinggalah jualan kereta.
“Kami menyasarkan untuk menerima lebih 100,000 pengguna dalam masa terdekat.
“Aplikasi ini bukan sahaja untuk menguruskan gaya hidup kenderaan pelanggan tapi ia juga menawarkan pendidikan kenderaan dan keselamatan jalan raya jadi. Kami berharap dapat mencapai sasaran pengguna tersebut secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar majlis pelancaran aplikasi tersebut, semalam.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah MIROS, Azhar Hamzah berkata, keselamatan jalan raya dan kenderaan tetap penting di Malaysia kerana hampir 18 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya setiap hari.
“Pihak berkuasa tempatan dan pihak automotif mesti bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama untuk memastikan keselamatan yang lebih baik bagi pemilik kenderaan.
“Ciri untuk mendorong pandu dengan selamat di aplikasi Motorist boleh membantu mencapai tujuan itu dan kami teruja dapat bekerjasama dengan Motorist.my untuk memastikan maklumat mengenai penilaian keselamatan kenderaan boleh juga didapati di dalam aplikasi mereka,” ujarnya.
Motorist adalah salah satu platform rencam dengan lebih 2,100 rakan automotif yang diperakui termasuk AXA Affin General Insurance, Etiqa Takaful dan Liberty Insurance Malaysia.
Menerusi aplikasi tersebut, pemilik kereta di Malaysia dapat menerima pemberitahuan dan peringatan untuk tamat tempoh cukai jalan, pembaharuan insurans kereta dan servis serta makluman mengenai saman dan denda lalu lintas.
Selain itu, pengguna aplikasi itu juga dapat akses kamera trafik langsung di semua lebuh raya utama, sehingga mereka dapat memeriksa apabila ada kesesakan lalu lintas, sekatan jalan raya, banjir, atau kerosakan kereta sebelum mereka memulakan perjalanan.
Dengan ciri ‘Co-Driver’ aplikasi, pemandu akan menerima amaran audio masa nyata ketika mendekati zon kamera penguatkuasaan polis, dan juga peringatan untuk memandu dengan lebih bertanggungjawab.
Motorist kini mengadakan kempen pemasaran yang berlangsung sehingga 30 Januari 2023, di mana pemandu yang memuat turun Motorist Super App boleh memenangi wang tunai berjumlah RM2,000 dalam cabutan mingguan selain produk Apple seperti iPhone 14, AirPods 3, Apple Watch SE dan banyak lagi. – UTUSAN