Mampu jual pekasam 300 kilogram sebulan - Utusan Malaysia

Mampu jual pekasam 300 kilogram sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KREATIVITI seorang nelayan darat memproses lebihan hasil tangkapan ikan air tawar untuk dijadikan pekasam memberi pulangan lumayan kepadanya sekali gus mampu menjana pendapatan sampingan setiap bulan.

Menerusi jualan di bawah jenama Pekasam Santuari Ikan Air Tawar itu, Abdul Azhar Abdul Aziz, 36, mampu memasarkan produk berkenaan antara 200 hingga 300 kilogram (kg) sebulan namun jumlah tersebut mampu mencecah sehingga 800 kg pada cuti persekolahan atau bulan Ramadan.

Purata pendapatan bulanan mampu diraih Abdul Azhar menerusi jualan pekasam berkenaan adalah sekitar RM7,500.

Katanya, antara lebihan hasil tangkapan ikan yang menjadi pilihannya bagi dijadikan pekasam adalah daripada spesies belida, tilapia, bongkok dan lampam.

“Kebiasaannya orang akan menggunakan ikan-ikan kecil untuk dijadikan pekasam dan dijual kepada orang ramai.

“Bagaimanapun kita cuba membawa kelainan dengan menghasilkan pekasam dengan menggunakan ikan bersaiz besar namun mengikut berat-berat tertentu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Kampung Timah Tasoh ini berkata, dia memasarkan pekasam berkenaan dengan harga serendah RM5 sepeket untuk berat sekitar 250 gram.

Abdul Azhar berkata, dia memasarkan pekasam berkenaan ke seluruh Malaysia dan buat masa ini, permintaan tertinggi diterima adalah dari Johor.

“Permintaan yang diterima amat baik memandangkan pekasam yang kami hasilkan ini menawarkan harga amat berpatutan dan murah berbanding pengusaha lain,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada tiga cahaya mata ini memaklumkan proses bagi menghasilkan pekasam juga tidak begitu rumit namun ia perlu mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan ikan berbau busuk.

Katanya, bagi peringkat permulaan, ikan-ikan yang ingin dijadikan pekasam itu perlu dibasuh sehingga hilang kesan darah bagi membolehkan ia disimpan untuk tempoh masa yang lebih panjang.

“Selepas ikan dicuci, ia perlu diperap untuk tempoh dua ke tiga minggu dengan garam kuantiti yang banyak bagi menjaga kualiti penghasilannya.

“Selepas tempoh itu, ikan berkenaan perlu dibasuh semula untuk mengurangkan garam berkenaan dan dilumur dengan beras sangai (beras yang digoreng),” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azhar berkata, dia menghasilkan beras sangai untuk dilumur pada ikan dengan menggunakan mesin khas yang mampu mengeluarkan hasil sekitar 30 kg pada satu-satu masa.

Dia berkata, sejak menggunakan mesin khas itu, pihaknya juga mampu meningkatkan hasil pengeluaran pekasam untuk dipasarkan kepada  pelanggan dan pemborong di seluruh negara.

“Pengeluaran pekasam kami dihasilkan lebih konsisten dengan kemudahan mesin khas ini yang membuatkan jualan mampu meningkat pada setiap bulan,” katanya.

Selain itu, Abdul Azhar berkata, pihaknya juga tidak berdepan masalah bekalan ikan air tawar untuk diproses menjadi pekasam berikutan sumber berkenaan diperolehi daripada komuniti nelayan darat dari Empangan Timah Tasoh.

Ujarnya, penghasilan pekasam ini juga secara langsung turut membantu menambah sumber pendapatan buat golongan tersebut dan mengelakkan pembaziran tangkapan ikan yang tidak menepati gred dikehendaki.

“Biasanya saya akan mendapatkan ikan-ikan gred rendah yang tidak boleh dipasarkan kepada peraih untuk dijadikan pekasam sekali gus dapat membantu nelayan menambah pendapatan mereka,” katanya.

Tambahnya, dia juga bercadang untuk mendapatkan sebuah bilik sejuk beku mudah alih pada masa hadapan untuk menyimpan stok ikan air tawar bagi dijadikan pekasam sekiranya mendapat lambakan tangkapan oleh komuniti nelayan darat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya