Lebih ramai rakyat Malaysia ambil insurans banjir - Utusan Malaysia

Lebih ramai rakyat Malaysia ambil insurans banjir

KEJADIAN banjir kilat pada tahun 2021 menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan insurans banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengambilan insurans banjir kenderaan motor (komprehensif) meningkat lebih daripada dua kali ganda pada separuh pertama 2022 kepada 12 peratus berbanding lima peratus untuk keseluruhan 2021.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dalam kenyataannya berkata, perkembangan tersebut didorong oleh kesedaran pengguna yang meningkat tentang risiko kerosakan harta benda dan aset yang berlaku akibat banjir kilat sebelum ini.

Katanya, kadar pengambilan insurans kebakaran (kerosakan barang) banjir juga meningkat sedikit kepada 31 peratus pada enam bulan pertama tahun ini berbanding 2021 pada 30 peratus.

“Laporan khas kesan banjir di Malaysia 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kerugian keseluruhan RM6.1 bilion yang ditanggung akibat banjir yang menjejaskan beberapa negeri Malaysia pada akhir Disember 2021 dan awal Januari 2022.

“Banjir kilat di Malaysia sejak beberapa bulan lalu telah menyebabkan banyak kerosakan harta benda dan kerugian kepada orang ramai di seluruh negara. 

“Dengan musim tengkujuh akhir tahun semakin meningkat pada bulan Disember tahun ini, lebih banyak banjir tidak dapat dielakkan,” katanya.

PIAM berkata, semua ahlinya menawarkan lanjutan untuk perlindungan banjir di bawah polisi motor dan kebakaran komprehensif dengan premium tambahan dan mengikut budi bicara pengunderaitan individu penanggung insurans.

Jelanya, pengguna dinasihatkan untuk menyemak polisi mereka dan perlindungan yang ditawarkan dengan pengantara mereka yang sedia membantu dalam menyediakan maklumat yang diperlukan kerana perlindungan, terma dan syarat  yang mungkin berbeza antara satu syarikat insurans dengan yang lain.

“Perlindungan banjir adalah lebih berpatutan daripada yang anda fikirkan. 

“Berdasarkan contoh perbandingan tiga jenis kenderaan yang berbeza iaitu Proton Saga 1332CC, Toyota Camry 1998CC dan Mercedez Benz AvantGarde 1991CC, premium tambahan untuk perlindungan lanjutan banjir adalah antara 8 sen hingga RM1.74 sehari,” ujarnya.

Tambahnya, kadar perlindungan lanjutan banjir di bawah polisi tarif standard untuk risiko di bawah RM10 juta ialah 0.086 peratus, jumlah mampu milik memandangkan jumlah perlindungan yang disediakan untuk kerugian akibat banjir.

“Sebagai contoh, hartanah dengan jumlah diinsuranskan sebanyak RM200,000 akan dikenakan premium tambahan kira-kira RM172 setahun (47 sen sehari atau RM14 sebulan).

“Pemilik rumah digalakkan untuk mengambil insurans pemilik rumah dan juga mempertimbangkan untuk memasukkan perlindungan isi rumah (kandungan rumah) kerana banjir dan pelbagai bahaya lain (perlindungan sambungan) biasanya disertakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya