PETALING JAYA: Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) melabur RM40,000 untuk membina rumah hijau khas dalam kawasan Persatuan Cerebral Palsy Johor (CPJ) bagi membantu persatuan tersebut menyediakan agroterapi di samping membuka peluang menjana pendapatan tambahan melalui penjualan hasil tanaman.
Kulim dengan sokongan divisyen Agrofarm dan Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) telah mengadakan perbincangan bersama CPJ bagi mengenal pasti dan mengusulkan bantuan yang bersesuaian dengan rancangan CPJ untuk menjana pendapatan yang mampan bagi persatuan tersebut.
Tujuan utama rumah hijau itu adalah untuk dimanfaatkan sebagai kemudahan untuk sesi terapi kepada para pelajar melalui agroterapi yang menyediakan aktiviti berstruktur dalam suasana pertanian bagi membantu mereka meningkatkan koordinasi motor, kekuatan dan daya tahan serta komunikasi melalui hubungan penyembuhan antara manusia, tumbuh-tumbuhan dan ekosistem sekitarnya.
Pengerusi CPJ, Tunku Fatimah Faridah berkata, inisiatif terbaharu itu sejajar dengan komitmen pihaknya untuk mendidik, melatih, merawat dan menyediakan keperluan khas untuk pelajar-pelajar cerebral palsy.
“Memandangkan manfaatnya yang meluas, kami berharap masyarakat sekitar akan menyokong projek rumah hijau ini dengan memilih untuk membeli buah-buahan dan sayur-sayuran di CPJ,” katanya.
Melalui pembangunan rumah hijau itu, CPJ juga boleh memulakan penanaman dalam persekitaran yang kondusif dan mampan termasuk salad dan rock melon, seterusnya menjual hasil tanaman pada harga yang berpatutan.
Kulim akan memberikan khidmat nasihat, latihan serta pemantauan berkala sebagai sebahagian daripada komitmen Kulim kepada inisiatif tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kulim, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, sebagai pemain industri dalam bidang perniagaan tani, masyarakat telah menjadi pemacu kepada setiap kejayaan kumpulan.
“Justeru, kami ingin berkongsi kejayaan dengan memajukan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat dalam komuniti terutamanya di mana kami beroperasi.
“Selain membantu mereka yang memerlukan, kami mahu menggalakkan masyarakat untuk membuat kebaikan yang mewujudkan perbezaan serta impak yang bermakna dalam masyarakat sama ada melalui sumbangan, perbelanjaan bermatlamat, atau menyumbang masa mereka,” katanya. – UTUSAN