Kilang silika di Tanjung Gelang bakal tawar 1,000 peluang pekerjaan - Utusan Malaysia

Kilang silika di Tanjung Gelang bakal tawar 1,000 peluang pekerjaan

KHAIRIL ANWAR Ghazali (kanan), bertukar dokumen perjanjian pajakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Mohd. Faizal Jaafar sambil disaksikan oleh Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) di Pejabat PKNP di Kompleks Teruntum di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) hari ini menandatangani perjanjian pajakan dengan syarikat MHT Silica Sdn. Bhd. (MSSB) bagi membina sebuah kilang silika di Tanjung Gelang di sini.

Pembinaan kilang di atas tapak seluas 6.70 hektar itu dijangka menelan kos antara RM50 juta hingga RM100 juta dengan nilai pelaburan awal berjumlah sehingga RM200 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek dikendalikan MSSB ini dijangka membuka peluang pekerjaan kepada hampir 1,000 penduduk tempatan.

“PKNP menandatangani perjanjian pajakan tanah seluas kira-kira 6.70 hektar dengan syarikat terbabit (MSSB) bagi tujuan itu.

“Ini adalah satu peluang perniagaan yang cukup baik dengan pulangan yang dijangkakan antara RM30 juta hingga RM50 juta sebulan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara PKNP dan MSSB di Pejabat PKNP di Kompleks Teruntum di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan MSSB, Khairil Anwar Ghazali berkata, syarikat berkenaan sudah mempunyai stok simpanan dan kilang pemprosesan pasir silika di tiga negeri iaitu Johor, Perak dan Kedah.

“Kami memilih negeri ini sebagai lokasi seterusnya kerana Pahang mempunyai sumber mineral silika yang banyak dan berkualiti tinggi menepati standard pelanggan.

“Kos pembinaan kilang dijangka akan menelan kos antara RM50 juta hingga RM100 juta dengan nilai pelaburan awal berjumlah sehingga RM200 juta.

“Pembinaan kilang itu akan dilaksanakan sebaik semua urusan dengan pihak berwajib selesai dalam tempoh enam bulan dan pembinaannya akan dibuat secara berfasa antara satu hingga dua tahun,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan kilang itu nanti bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat malah akan menarik lebih banyak pelabur asing ke negeri ini.

Dalam pada itu, Khairil Anwar berkata, syarikat berkenaan juga sudah merancang untuk melaksanakan pelan pemulihan tanah lombong selepas proses melombong berakhir.

“Kami sudah membuat kajian terperinci tentang perkara itu dan kami bercadang untuk melaksanakan pertanian tebu telur di atas tapak bekas lombong itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya