ISKANDAR PUTERI: Perubahan kerajaan atau tampuk pemerintahan negara tidak menjejaskan pelaksanaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, ini kerana kerajaan telah memberikan komitmen untuk membina projek berkenaan demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Justeru, pelaksanaan projek RTS yang merupakan salah satu projek mega harus disiapkan walaupun berlaku ketidakstabilan politik dalam negara.
“Pada waktu ini, kadar pelaksanaan projek ini sudah melebihi 20 peratus dan berjalan mengikut jadual ditetapkan. Kita jangka RTS ini akan siap sepenuhnya menjelang Disember 2027.
“Soal politik, pertukaran kerajaan mahupun kepimpinan tertinggi negara tidak akan menjejaskan pelaksanaannya kerana kerajaan Malaysia telah beri komitmen terhadap pelaksanaannya dan ia juga sudah separuh jalan.
“Kelulusan pertama bagi pelaksanaan projek ini telah dicapai dalam Parlimen pada 2019 dan dalam tempoh berkenaan beberapa perkara telah berlaku, tetapi projek ini terus berjalan,” katanya selepas menghadiri Seminar RTS dan Impaknya Kepada Negeri Johor di Universiti Reading Malaysia, EduCity, di sini semalam.
Mohd. Zarif berkata, pihaknya kini turut menjalankan kerja-kerja pembinaan satu-satunya depoh RTS yang akan menjadi pusat operasi dan penyelenggaraan perkhidmatan berkenaan di Wadi Hana.
Pihaknya yakin impak pelaksanaan RTS itu bukan sahaja akan memendekkan masa perjalanan antara Johor Bahru dan Singapura menjadi hanya 15 minit, malah akan menjadi pemangkin yang mampu mengubah landskap ekonomi Malaysia dan Johor Bahru secara khususnya, termasuk peningkatan dalam pelbagai bidang pelaburan.
“Selain itu, pelaksanaan projek ini telah menjana peluang pekerjaan kepada seramai lebih 1,500 tenaga kerja mahir, manakala secara tidak langsung dijangka 30,000 pekerjaan akan terhasil dalam pelbagai bidang termasuk sektor makanan dan minuman,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan insiden banjir kilat yang kerap dilaporkan berlaku di bandar raya Johor Bahru khususnya ketika musim tengkujuh juga tidak menjejaskan pelaksanaan projek. – UTUSAN