IJM Land sasar jualan lebih RM2.5 bilion - Utusan Malaysia

IJM Land sasar jualan lebih RM2.5 bilion

PEGAWAI Eksekutif IJM Land, Datuk Wong Tuck Wai yakin IJM Land akan melepasi sasaran jualan tahun ini. - UTUSAN/FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IJM Land menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 10 peratus menjelang akhir tahun ini, sekali gus mengatasi rekod jualan tertinggi berjumlah RM2.5 bilion yang dicapai pada tahun kewangan 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land, Datuk Wong Tuck Wai berkata, sasaran itu mampu dicapai didorong projek pembangunan bersepadu termasuk projek kediaman, komersial dan runcit.

Ujarnya, mengikut prestasi semasa, IJM Land telah pun menghampiri sasaran tersebut.

“Kami yakin jualan akan lebih memberangsangkan selepas kami melancarkan dua lagi projek iaitu kediaman Avela @ Rimbayu di Selangor pada suku keempat tahun ini dan Riana Trees Residences @ Pantai Sentral Park di Kuala Lumpur pada suku pertama 2023.

“Projek lain termasuk projek antarabangsa kami di London dan Australia juga akan menjadi penyumbang utama kepada jualan untuk tahun kewangan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tuck Wai yang mempunyai 45 tahun pengalaman dalam industri dilantik menerajui IJM Land pada 1 Julai lalu. 

Sebelum ini, beliau telah menerajui pembangunan hartanah berprofil tinggi dalam semua kelas aset sepanjang tempoh kerjayanya daripada perumahan awam, kerajaan, kediaman kepada projek pembangunan kediaman mewah, kegunaan bercampur dan komersial. 

Paling ketara, beliau menerajui pembangunan semula Stesen Janakuasa Battersea bernilai £8 bilion di London sebagai Pengerusi Syarikat Pembangunan Stesen Janakuasa Battersea.

Mengulas mengenai pembaharuan dalam IJM Land sempena pelantikannya, beliau berkata akan menekankan kepada pengukuhan jenama IJM Land dalam setiap projek yang dilaksanakan supaya jenama itu sinonim dengan pembangunan tersebut.

Beliau juga akan melihat semula organisasi dan menjadikannya lebih teratur dan berkesan.

“Yang terakhir dan paling utama, sudah tentu untuk meningkatkan jualan tahunan IJM Land dengan sasaran yang lebih tinggi berbanding tahun kewangan sebelumnya,” ujarnya.

Tuck Wai berkata, untuk rancangan masa hadapan, beliau mahu memfokuskan kepada pembangunan bercampur dengan nisbah 60 peratus kediaman dan 40 peratus komersial yang terdiri daripada pejabat dan runcit bagi memberi lebih banyak pilihan kepada masyarakat.

“Kami juga akan meningkatkan pembangunan projek yang melibatkan agenda kelestarian dengan setiap produk akan diberi penarafan hijau. Bagi meningkatkan kesejahteraan pula, kami bercadang membina pusat perubatan dan membangunkan hab pendidikan dalam projek hartanah kami.

“Ini dapat menjadikan IJM Land sebagai pemaju premium yang menyediakan pembangunan terbaik dan lengkap kepada semua,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya