SELAYANG: Kira-kira 1.7 juta individu di Malaysia berisiko menghidapi 3H, iaitu hipertensi, hiperlipidemia (kolesterol tinggi) dan hiperglisemia (diabetes) yang menjurus kepada penyakit kardiovaskular, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019.
Umum mengetahui, penyakit kardiovaskular merupakan penyebab kematian utama di Malaysia.
Peka dengan fenomena tersebut, Orient Biotech dengan kerjasama pasukan penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM), menjadi syarikat neutraseutikal pertama di Malaysia yang menjalankan kajian klinikal manusia terhadap produk Bonlife Sacha Inchi Oil miliknya terhadap pesakit 3H.
Penyelidik Utama, merangkap pakar pemakanan klinikal daripada Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Dr. Lee Lai Kuan berkata, penyelidikan tersebut bertujuan untuk mengkaji keberkesanan campuran asid lemak poli tak tepu omega 3, omega 6 dan omega 9 dalam nisbah yang betul terhadap tahap kesihatan pesakit 3H.
“Kajian ini melibatkan 52 pesakit 3H yang buat masa kini menerima rawatan konvensional di Pusat Perubatan Bertam, USM.
“Pasukan penyelidikan USM mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk menjalankan kajian ini dengan sempurna,” katanya dalam sidang akhbar mengenai keputusan kajian tersebut di sini baru-baru ini.
Jelas beliau, kajian menunjukkan bahawa suplemen Bonlife Sacha Inchi Oil berasaskan sumber tumbuh-tumbuhan berkesan untuk mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik dalam pesakit 3H.
“Selari dengan keputusan ini, kepekatan jumlah kolesterol dan lipoprotein berketumpatan rendah kolesterol (LDL-C) dalam kumpulan yang menggunakan suplemen itu berkurangan secara signifikan selepas pengambilan intensif selama 12 minggu.
“Sacha Inchi Oil juga mengurangkan pelbagai biomarker keradangan dalam pesakit 3H, yang mungkin menyumbang kepada pengurangan risiko aterosklerosis dan penyakit serebrovaskular.
“Banyak produk Sacha Inchi Oil di pasaran terkini yang mendakwa bahawa ia menyumbang kepada kesihatan manusia. Namun, setakat ini, tiada kajian klinikal manusia yang pernah dijalankan untuk membuktikan keberkesanannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Orient Biotech, Teoh Eng Sia berkata, pihaknya berhasrat untuk menjalankan kajian klinikal manusia terhadap produk popular mereka memandangkan ia mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada pengguna 3Hnya.
“Bagi mengesahkan kenyataannya tersebut Orient Biotech telah melabur kira-kira RM620,000 sebagai dana penyelidikan untuk meneliti kesan pengambilan produk Sacha Inchi Oil terhadap pesakit 3H.
Menurutnya, dengan adanya hasil kajian itu, pihaknya berharap dapat memperluaskan lagi pasaran produk tersebut di dalam dan luar negara.
“Golongan sasaran kami adalah mereka yang menghidap penyakit 3H, termasuk mereka yang menghidapi diabetes, darah tinggi dan sebagainya.
“Kami berharap produk kesihatan ini dapat membantu untuk meningkatkan tahap kesihatan penggunanya dan mengurangkan risiko seperti serangan jantung dan strok,” ujarnya. – UTUSAN