Agrobank tawar moratorium 6 bulan kepada mangsa banjir - Utusan Malaysia

Agrobank tawar moratorium 6 bulan kepada mangsa banjir

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu (dua dari kanan) melawat ibu pejabat Agrobank di Kuala Lumpur, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank menawarkan penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) serta tawaran moratorium sehingga enam bulan sebagai sokongan membantu para pelanggannya yang terkesan berikutan banjir yang melanda sejak seminggu lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya prihatin dengan nasib para pelanggan yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran akibat bencana banjir yang melanda kawasan masing-masing sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, ternakan dan ladang serta menjejaskan aktiviti pertanian mereka.

Ujarnya, sebagai sebuah institusi pembangunan kewangan (IKP) yang prihatin, Agrobank bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan sentiasa dilindungi dan dibantu. 

“Justeru, sebagai usaha untuk menyuntik semangat buat para pelanggan, kami telah merangka Pelan Bantuan Banjir khusus untuk membantu mereka membangunkan semula perniagaan sekali gus memberi ruang untuk mereka mengatur semula rancangan perniagaan masing-masing.

“Selain daripada dua tawaran yang dinyatakan, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah akibat banjir.

“Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank, dan akan mengutamakan mereka yang terkesan,” katanya selepas keputusan dibuat ketika lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ke ibu pejabat Agrobank.

Mengulas tentang situasi banjir yang memberi kesan kepada sektor pertanian negara, Mohamad berkata, dalam menghadapi cabaran ini, pelan yang dirangka oleh Agrobank diharap dapat meringankan beban yang dihadapi mereka serta memastikan nasib komuniti agropreneur ini terbela. 

“Ini bagi membolehkan pembangunan perniagaan pertanian mereka terjamin sekali gus meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti pertanian serta membangunkan kestabilan sekuriti makanan negara,” ujarnya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, sila hubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476 atau e-mel ke [email protected] atau layari www.agrobank.com.my – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya