MELAKA: Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyasarkan 800,000 pelancong akan menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise (MRC) tahun depan, dipacu pengenalan pelbagai produk baharu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Murad Husin berkata, pihaknya sentiasa memastikan MRC ditambah baik di samping memperkenalkan produk baharu agar perkhidmatan itu kekal relevan.
Jelasnya, kemudahan prasarana turut dipertingkatkan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
“Kita sasarkan sekurang-kurangnya 800,000 pelancong akan menggunakan MRC pada tahun kedua pengoperasian penuh. Kalau boleh capai angka ini, saya akan menyasarkan sejuta pengguna MRC pada tahun ketiga.
“Dalam industri pelancongan river cruise, kita sentiasa melihat penambahbaikan dan selalu memberi perhatian kepada penyediaan utiliti yang baik. Sekarang ini kita sedang menaik taraf Jeti Taman Rempah dan kemudahan lain untuk keselesaan pengunjung,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Bersama Penggiat Industri Korporat, Perhotelan dan Media di sebuah hotel di sini semalam.
Tambah Murad, PPSPM berharap MRC bakal menjadi ikon pelancongan negeri yang mampu menggamit kehadiran pengunjung, sekali gus mengembangkan ekonomi Melaka.
Justeru katanya, satu tarikan menarik akan diperkenalkan tahun depan, namun perkara itu masih belum dapat diumumkan secara terperinci.
“Saya tidak boleh umum sekarang, tetapi memang ada perancangan. Di sepanjang laluan Taman Rempah hingga ke Batu Hampar akan ada beberapa tarikan dan taman tema di sana,” ujarnya. – UTUSAN