ANDA tak salah sekiranya menganggap jentera kembara Suzuki ini kelihatan seperti satu model Suzuki yang baru diperkenalkan kerana ia adalah pengenalan semula model yang agak ‘tenggelam’ dalam kategori motosikal kembara.
Suzuki sememangnya antara jenama dari negara matahari terbit yang kurang popular berbanding Yamaha atau Honda. Suzuki dan Kawasaki merupakan dua ‘saudara’ yang sekali-sekala menjadi tajuk utama bahagian sukan motor MotoGP. Suzuki pernah memenangi beberapa perlumbaan di MotoGP, manakala Kawasaki pernah menjuarai World Superbikes Championship sebanyak lapan kali, dengan enam kali kejuaraan berturut-turut sejak 2015 hingga 2020.
Bagaimanapun, dari segi pendapat dan pandangan para bikers tegar, Suzuki selalunya menampilkan jentera-jentera sports yang menampilkan ciri-ciri penunggangan yang baik seperti sebuah motosikal perlumbaan berbanding jentera-jentera dari Yamaha atau Honda, mungkin telah banyak diubah sepesifikasinya bagi membolehkan ia lebih komersial dan diguna pakai oleh lebih ramai tahap pengguna motosikal.
Model Suzuki GSX-S1000F merupakan sebuah model kembara sports yang sepatutnya menjadi motosikal pilihan ramai namun sayang sekali, model tersebut gagal menarik minat lebih ramai bikers kerana rupa rekaannya yang tidak menarik dan gagal menepati cita rasa pasaran. Saya sendiri, pernah menunggang GSX-S1000F pada 2018 di Morocco kerana bersetuju untuk meminjamkan motosikal KTM Superduke yang telah disediakan khas untuk saya kepada seorang wartawan dari Singapura yang ingin merasai menunggang jentera KTM tersebut. Beliau ketika itu disediakan Suzuki GSX-S1000F yang sememangnya tidak menarik langsung penampilannya. Namun, apabila telah menunggangnya di pelbagai jenis permukaan jalan dan pada kelajuan yang agak tinggi, terus mengubah persepsi saya terhadap model ini.
PENAMPILAN
Apabila berita model 2022 ini mula tersebar di internet, didapati motosikal terbaharu ini mempunyai rekaan yang lebih tajam dan layak menggunakan nama ‘Sport Tourer’ dan yang paling ketara dalam selektif rekaannya adalah lampu hadapan yang begitu futuristik. Tambahan pula, Suzuki sememangnya memahami kehendak pasaran masa kini iaitu peningkatan permintaan terhadap motosikal untuk kembara dan Suzuki telah menambah kotak barangan sisi yang menjadi satu keperluan bagi para pengembara motosikal sebagai edisi standard kilang.
Penampilan GSX-S GT ini ternyata lari daripada rekaan kebiasaan motosikal kembara yang selalunya mempunyai pelana yang rendah dan pemegang yang tinggi menjadikan penunggangnya duduk menegak. Suzuki sememangnya tahu pasaran untuk motosikal sports sudah semakin mengecil secara global, tetapi masih ramai yang ingin merasai DNA motosikal sports terutama dari posisi penunggangan yang masih menunduk tetapi tidak ekstrem.
Penyerap hentakan hadapan yang berwarna keemasan, serta bunyi ekzos yang meneguhkan keberadaan penggunaan jentera empat silinder sebaris, turut mengukuhkan bahawa GSX-S ini masih boleh melewati selekoh-selekoh jalan berbukit.
PENUNGGANGAN
Duduk di atas pelananya dan letak kedua-dua tangan anda atas pemegang, ia memberikan isyarat bahawa ini bukan motor kembara yang biasa. DNA sportbike masih lagi utuh dan kesan akibat pulasan pendikit ternyata mengingatkan anda ia bukan mainan. Bar pemegangnya seperti GSX-S1000F yang pernah saya tunggang pada 2018 dulu, konsep ‘terdedah’ seperti motorsikal jalanan biasa, tetapi kedudukannya agak rendah dan membuatkan saya sedikit membongkok ke hadapan. Pelananya agak tinggi tetapi kusyennya selesa khasnya untuk perjalanan jauh.
Kedudukan kaki tidak terlalu tinggi namun agak cukup dan tidak menyeret pemijak kaki tersebut sekiranya anda perlu menyendengkan motor lebih sedikit ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Sistem pertukaran gear pantas (quick shifter) yang disediakan cukup lancar tanpa sebarang bunyi hentakan antara gear, sama ada turun atau menaikkan gear tanpa perlu menggunakan tuas klac.
Sistem kawalan cengkaman yang tersedia pada GSX-S GT boleh dilaras secara elektronik dan ternyata membolehkan anda memilih sendiri sama ada untuk satu pecutan yang segera atau kebolehan meminimumkan gelinciran roda belakang akibat pulasan pendikit yang melampau ketika keadaan jalan raya atau cuaca yang tidak kondusif untuk pecutan secara mengejut dan keras. Walau Bagaimanapun, harus diingat, ia masih sebuah jentera empat silinder sebaris dan tetap berkuasa pada mana-mana kedudukan gear. Saya sendiri telah beberapa kali terperanjat atau tidak bersedia dengan kuasa tujahannya pada kedudukan gear paling tinggi apabila memulas pendikit secara kasar atau tiba-tiba.
Kesan penyerap hentakan hadapan, walau sedikit keras tetapi tidak menyakitkan pergelangan tangan atau bahu pada mana-mana jenis permukaan jalan. Pengendalian dan pengemudian yang stabil dalam pelbagai kelajuan, penyerap hentakan belakang jenis tunggal pula turut sama menyokong dalam kestabilan penggunaan motosikal ini ketika terpaksa melintasi permukaan-permukaan jalan raya yang menyebabkan gegaran.
KESIMPULAN
Selalunya, faktor-faktor pembelian jenis atau model motosikal baharu banyak dipengaruhi faktor selera atau minat. Pemilihan akan mula berubah mengikut faktor umur dan faktor inilah yang banyak mempengaruhi pembelian terhadap model ini.
Suzuki GSX-S GT ini tidak mengenepikan ‘nafsu’ dan keinginan seseorang biker yang mungkin ingin beralih arah daripada penunggangan dalam litar atau meleper naik Genting Highlands, Bukit Tinggi, Cameron Highlands dan Bukit Fraser, tetapi tidak mahu terlepas peluang merasai susasana tersebut sekiranya tiba-tiba melalui selekoh.
Harga pengenalan RM85,700 juga saya rasakan agak berbaloi memandangkan ia sebuah jentera 1000cc (999cc), lengkap dengan kotak sisi untuk pengisian barangan, penyerap hentakan hadapan jenis terbalik, sistem pertukaran gear pantas tanpa perlu menarik klac, meter TFT yang boleh menghubungkan anda dengan peranti telefon atau alat telekomunikasi, serta banyak sokongan sistem elektronik dan mekanikal yang setaraf dengan jentera-jentera touring atau kembara dari Eropah. Pilihan yang sesuai terutama kepada kumpulan sasaran yang menginginkan prestasi motosikal sports tanpa kesan sakit pergelangan tangan, belakang bahu dan pinggang, akibat kesan posisi penunggangan ekstrim.