PORT DICKSON: Raiz Malaysia Sdn. Bhd. (Raiz) berjaya menarik pendaftaran mencecah 600,000 dengan kira-kira 110,000 adalah pengguna aktif dengan jumlah pelaburan diuruskan berjumlah RM40 juta sejak dilancarkan sehingga 30 Oktober lalu.
Menurut Ketua Eksekutifnya, Aidi Izham Mohd. Khalil berkata, dari segi demografi, syarikat itu mendapati pengguna Raiz berumur antara 18 hingga 43 tahun yang membentuk 88 peratus daripada pelabur.
Katanya, inisiatif pelaburan baki duit sen diperkenalkan Raiz membuka peluang kepada semua kelompok masyarakat yang baru berjinak-jinak dengan pelaburan tanpa ada halangan.
“Dana unit amanah lain memerlukan deposit minimum RM500 hingga RM1,000 untuk melabur sebab itu kebanyakan orang tidak mampu.
“Menariknya, idea ini tidak mengubah tabiat berbelanja seseorang individu sebaliknya membantu pengguna melabur tanpa sedar di mana pulangan tertakluk kepada pergerakan saham semasa,” katanya ketika ditemui di Minggu Salam Amanah Malaysia (MSAM) 2022 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Kawasan Lapang Pantai Batu 1 di sini
Raiz, aplikasi mudah alih pelaburan makro pertama di Malaysia, dilancarkan oleh PNB pada Julai 2020, membolehkan pengguna melabur serendah baki duit sen yang dibelanjakan.
Ia dibangunkan oleh Raiz Malaysia, syarikat usaha sama anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn. Bhd. dan Raiz Invest Australia Ltd. (Raiz Invest), anak syarikat Raiz Invest Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX).
Aidi Izham berkata, Raiz memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam dana-dana unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
“Ia adalah cara unik untuk pengguna memanfaatkan sepenuhnya setiap sen yang dibelanjakan di mana duit baki itu akan dibundarkan sebelum disimpan dan dilabur dalam akaun Raiz.
“Pemegang unit boleh memulakan pelaburan dengan memuat turun aplikasi mudah alih Raiz secara percuma dan memautkan kepada kad debit atau kredit bank mereka,” katanya.
Jelas Aidi Izham, selain fungsi pembudaran baki pembelian harian, pengguna boleh membuat pelaburan sekali gus atau berkala secara harian, mingguan atau bulanan.
Bersempena MSAM 2022, Raiz Malaysia melancarkan ‘Raiz Rewards’ berbentuk ganjaran tunai kepada pengguna yang membuat pembelian dengan rakan jenama Shopee dan Lazada.
Aidi Izham berkata, sambil berbelanja secara dalam talian di Shopee dan Lazada, pengguna juga akan menerima ganjaran tunai yang dilaburkan semula ke dalam akaun Raiz mereka.
“Inisiatif ini secara tidak langsung menggalakkan pengguna berbelanja dalam masa sama membuat simpanan dan pelaburan secara automatik. Selain itu, pengguna yang membayar zakat secara dalam talian juga akan menerima ganjaran tunai ini,” katanya. – UTUSAN