PETALING JAYA: Skim Persaraan Swasta (PRS) dapat menggalakkan pencarum untuk lebih berdisiplin dalam simpanan hari tua terutama bagi mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pencen atau skim persaraan mandatori.
PRS dilancarkan oleh Kerajaan pada Julai 2012 dan merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia semasa bersara melalui simpanan tambahan secara sukarela.
Private Pension Administrator Malaysia (PPA) selaku pentadbir pusat PRS berkata, skim ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia, samada pekerja swasta, awam dan lebih-lebih lagi pekerja ekonomi gig.
Simpanan tambahan membolehkan pencarum untuk menikmati gaya hidup yang sama bila bersara nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Husaini Hussin berkata, caruman melalui PRS boleh memberi peluang kepada golongan yang belum ada caruman di tempat lain seperti yang terlibat dalam perniagaan dan pekerja ekonomi gig yang banyak ketika ini.
Katanya, individu yang sudah mempunyai caruman juga digalakkan untuk memanfaatkan PRS sebagai pelaburan tambahan untuk masa tua mereka.
“Walaupun banyak saluran lain yang boleh digunakan untuk simpanan dan pelaburan untuk masa depan, PRS boleh mendisiplinkan pencarum kerana ia direka khas untuk pesaraan.
“PRS yang direka untuk persaraan mempunyai ciri-ciri dimana pengeluaran wang simpanan boleh dibuat apabila mencapai usia 55 tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini, PRS sudah mempunyai kira-kira 550,000 pencarum dan fakta menarik ialah kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke bawah.
Husaini berkata, bagi menggalakkan orang ramai untuk menyimpan di bawah skim ini, pihaknya sentiasa melaksanakan pelbagai tawaran seperti #ISaveinPRS Treat Contest bermula 1 Jun hingga 20 Disember iaitu cabutan bulan dengan pelbagai hadiah termasuk hadiah utama bernilai RM3,000 unit PRS.
Jelasnya, dengan serendah RM100, orang ramai boleh membuka akaun PRS melalui perkhidmatan PRS Online PPA untuk menyertai peraduan tersebut.
“Selain itu, sebagai pencarum PRS, seseorang individu layak untuk mendapatkan pelepasan cukai peribadi sehingga RM3,000 setahun.
“Ini adalah antara inisiatif yang dijalankan untuk menarik lebih ramai untuk mencarum dengan PRS,” ujarnya.
Maklumat lanjut: https://www.ppa.my/ms/ – UTUSAN