PETALING JAYA: Malaysia dan United Kingdom (UK) berhasrat menaik taraf Jawatankuasa Bersama Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan kepada Jawatankuasa Perdagangan Ekonomi Bersama (JETCO) yang diketuai pada peringkat menteri, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Perkara itu diusulkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama yang kedua di London.
Pesuruhjaya Perdagangan bagi Asia Pasifik, Natalie Black CBE, mempengerusikannya bersama-sama Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Antarabangsa) MITI Malaysia, Hairil Yahri Yaacob.
Menurut kenyataan, hasrat naik taraf itu adalah bagi mengiktiraf kepentingan hubungan perdagangan kedua-dua negara.
“JETCO baharu tersebut akan membantu mempromosikan dan meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi, termasuk menangani halangan perdagangan yang menjejaskan perniagaan antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan.
Mesyuarat pertama JETCO UK-Malaysia dijangka diadakan pada musim luruh tahun depan.
Pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama itu, UK mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
UK turut mengemas kini status penyertaan mereka dan Malaysia membentangkan manfaat CPTPP apabila ia mula berkuat kuasa untuk Malaysia pada 29 November ini.
CPTPP akan meningkatkan potensi perdagangan selanjutnya antara UK dan Malaysia, menyumbang kepada kemakmuran bersama kedua-dua negara melalui penciptaan peluang baharu untuk perniagaan dan pelabur.
Mesyuarat itu juga menghimpunkan enam ketua bersama kumpulan kerja untuk melaporkan kemajuan kerjasama dua hala mereka dalam bidang keutamaan yang dipersetujui.
Selain itu, terdapat pembentangan dari UK mengenai latihan guru serta inisiatif minyak sawit lestari Malaysia. – UTUSAN