PETALING JAYA: Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasakan pakaian, Siti Khadijah Sdn. Bhd. (Siti Khadijah) memfokuskan ke arah usaha pemulihan sektor tersebut menerusi pelaburan antarabangsa bernilai RM5 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Munzir Aminuddin berkata, pelaburan tersebut dijangka akan dilaksanakan sebelum suku pertama tahun depan dengan membabitkan negara jiran Indonesia dan Singapura.
Selain itu katanya, syarikat tersebut akan meluaskan pasaran dengan kerjasama rakan kongsi di Brunei dan Thailand pada tahun depan.
“Kita dapat melihat potensi di negara jiran yang mempunyai banyak persamaan dengan penduduk di negara ini.
“Justeru kita akan menyusun strategi pengembangan perniagaan ke seberang laut memandangkan permintaan yang tinggi daripada di sana, kami lihat terdapat banyak ruang untuk kami ceburi bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi juga hingga ke Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Munzir berkata, pembinaan butik itu yang melibatkan pelaburan RM500,000 itu menawarkan konsep baharu ‘Memupuk Gaya Hidup Bermanfaat selain menawarkan kemudahan surau untuk pengunjung.
“Setiap produk yang dipamerkan di surau itu di tawarkan untuk jualan kepada pengunjung dan kami mahu menjual konsep surau tersebut di setiap kediaman orang Islam agar mereka memiliki ruang bersolat bersama keluarga dan tetamu, barangkali Siti Khadijah adalah syarikat perintis menyediakan surau di hadapan butik,” ujarnya.-UTUSAN