KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) 2.0 dijadikan sebagai manifesto parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Abdul Halim Husin berkata, pelaksanaan DEB 2.0 penting dalam memastikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dapat dicapai.
“Selepas kejayaan DEB membasmi kemiskinan dan menghapus sistem pekerjaan mengikut kaum, WKB 2030 adalah harapan terakhir kepada usaha merapatkan jurang perbezaan, menyediakan padang permainan sama rata dan mencipta kemakmuran bersama.
“Cita-cita ini bagaimanapun sedikit terhalang bukan kerana Covid 19 semata-mata, tetapi turut disumbang oleh percaturan politik yang menjahanamkan dan ketiadaan agensi khusus menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Sidang Media PRU-15: Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Mahu Sasaran Ekonomi Bumiputera Sebagai Manifesto Wajib, di sini semalam.
Jelasnya, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat berada ditahap 16.2 peratus berbanding bukan Bumiputera sebanyak 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus.
Tambahnya, purata pendapatan isi rumah kasar Bumiputera pula sebanyak RM7,093 dan masih jauh ketinggalan.
“Atas dasar itu, maka gabungan ini menuntut agar DEB2.0 dirangka dan dilaksanakan di mana jika DEB 1.0 sebelum ini berkisar soal membasmi kemiskinan tegar maka DEB2.0 harus mengambil kira sasaran-sasaran yang lebih mampan.
“Kriteria Syarikat Berstatus Bumiputera bagi menyertai Perolehan Kerajaan Pusat, negeri-negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus dinaiktaraf daripada 51 peratus kepada 100 peratus.
“Ini bagi memastikan peruntukan besar Bumiputera sampai kepada sasaran sekali gus membanteras kegiatan Alibaba,” katanya.
Abdul Halim turut berharap agar rantaian bekalan Melayu terutamanya dalam sektor strategik melibatkan keselamatan makanan, pembinaan, telekomunikasi, ekosistem halal, peruncitan dengan sasaran minimum 50 peratus daripada pasaran pengguna domestik dapat dirangka melalui pelaksanaan DEB 2.0.
Ujarnya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi negara juga perlu diberi perhatian di dalam pelaksanaan DEB 2.0.
“Memahami kepentingan menjayakan sektor PMKS, kami menuntut agar tanggungjawab ini turut digalas oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
“Sebagai badan mewakili pemain industri Melayu terbesar di Malaysia dengan majoriti ahli dari kalangan PMKS, DPMM memiliki pengalaman, kepakaran dan jatidiri untuk memastikan sektor ini lebih berjaya daripada sebelumnya,” katanya. – UTUSAN