Italjet Dragster 125 & 200 - Skuter mewah dari Itali - Utusan Malaysia

Italjet Dragster 125 & 200 – Skuter mewah dari Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMBAKAN motosikal skuter dalam pasaran tempatan kini makin menjadi-jadi sejak tiga tahun kebelakangan ini. Vietnam, Thailand serta Indonesia sudah lama menjadikan skuter sebagai mod pengangkutan urban yang utama sementara di Malaysia, ia lebih kepada satu hobi atau gaya hidup.

Di Eropah, terdapat lebih banyak jenama skuter yang mempunyai rekaan serba canggih serta bantuan penyelenggaraan jentera secara elektronik. Tidak kurang juga yang memasukkan unsur motosikal sport atau superbike dalam rupa bentuk skuter mereka, seperti Italjet.

Italjet yang berasal dari Itali kini berusaha untuk menghasilkan lebih banyak unit untuk dipasarkan secara global. Berikutan daripada kosnya yang terlalu tinggi untuk dihasilkan di Itali, syarikat yang diusahakan oleh Leopoldo Tartarini pada 1959 ingin menghasilkan kenderaan yang memenuhi cita rasa dirinya, menumpukan setiap karektor ciptaannya terhadap keunggulan mekanikal serta reka bentuk yang lain daripada lain.

Selain daripada menjalankan usaha sama pembuatan di China, Italjet kini mengembangkan sayapnya ke negara kita bukan sahaja setakat penjualan, tetapi juga membuat pemasangan di kilang Chear Global Sdn. Bhd. di pusat perindustrian Alam Jaya, Puncak Alam, Selangor. Menariknya, tiada negara Asia Tenggara lain yang diberi peluang untuk bertindak sebagai pemasang dan pembuatan luar daripada China atau Itali selain Malaysia.

PENAMPILAN

Italjet Dragster ini didatangkan dengan dua variasi, 125cc dan 200cc. Para media tempatan diberi peluang khas sebagai antara yang pertama di Asia Tenggara untuk memandu uji kedua-dua variasi ini di Litar Go kart di Glenmarie, Shah Alam.

Skuter ini amat unik daripada mana-mana skuter yang berada di pasaran tempatan. Dragster ini seolah-olah dijadikan ‘togel’ tanpa pelitup sisi atau fairing, dan rekaannya seperti sengaja menampakkan isi luar dan dalam. Casis atau kerangka Dragster ini adalah jenis kerangka Trellis dan diwarnakan dengan warna merah menyala dan kuning. 

Sekiranya anda berjaya mengalihkan pandangan anda daripada kerangka yang mempunyai tarikan warna yang sangat ekstrim itu, anda akan terpandang pula sistem suspensi yang begitu unik pada model ini. Suspensi jenis sistem stereng bebas (ISS) adalah sistem suspensi yang bukan konvensional. 

Ia menyerupai sistem dan rekaan rupa lengan ayun, namun sistem ini diguna pakai pada bahagian depan dan juga belakang. Tiada fork atau penyerap hentakan hadapan konvensional di bahagian hadapan seperti kebanyakan motosikal lain di dunia.

Rekaan yang mementingkan geometri dengan kedudukan enjinnya yang berada di tengah-tengah, menjanjikan distribusi berat yang sama antara roda depan dan belakang. Ini menambah kepada kestabilan jentera ini dalam pengambilan selekoh. Suspensi tunggal untuk hadapan yang terletak di bahagian kerangka tengah membolehkan anda melarasnya ketika sedang dalam tunggangan sementara suspensi tunggal belakangnya berada pada kedudukan belah kanan dan disambungkan kepada lengan ayun yang kukuh seolah-olah ia diambil daripada sebuah motor perlumbaan. Penggunaan pelana duduk yang tirus dan pendek juga menyerlahkan lagi rekaan bersegi, kompak dan sporty.

PENUNGGANGAN

Sebagai pengenalan kepada media tempatan, kami diberi peluang untuk menguji sendiri kebolehan, keupayaan jentera dan pengendaliannya dalam litar go-kart. Memandangkan ia lebih selamat dan sesuai sebagai lokasi untuk menguji faktor-faktor tersebut, kami diberi peluang menguji dua varian iaitu 125cc dan 200cc.

Secara kasarnya, kedua-dua varian ini mempunyai keupayaan pengendalian yang sama dari segi cengkaman tayar standard keluaran kilangnya, atau kerangka dan suspensi kedua-dua model 125 dan 200cc. Untuk Dragster 125, model ini menghasilkan 9.2HP pada kadar 9,500 RPM dan 10.5Nm kadar tork daripada enjin berkapasiti 124cc.  Bagi model 200cc pula, kapasiti enjin sebenar adalah 181cc DOHC, sejukan cecair dengan keupayaan yang dikatakan pada 17.2HP pada kadar 8,000 RPM dan tork 15.5Nm pada kadar 7,750 RPM.

Sebaik sahaja para media selesai menunggang uji varian 125cc, kami disajikan terus dengan varian 200cc. Ternyata, perbezaan utama antara kedua-dua model ini, ialah cengkaman atau daya tujahan pada julat kuasa rendah. Terjahannya daripada keadaan statik lebih menyeronokkan daripada 125cc kerana membolehkan anda memecut dengan keadaan enjin yang kurang ngauman ketika diperlukan. 

Kami yakin, walau terdapat perbezaan kuasa antara varian 125cc dan 200cc, ia tidak begitu signifikan sewaktu menunggang di atas lebuh raya kota. Walaupun kami belum berupaya mengujinya di jalan-jalan biasa atau lebuh raya, namun kami jangkakan varian 125cc mampu memecut pada kadar had laju kebangsaan iaitu dalam 110 kilometer sejak (km/j) manakala varian 200cc mungkin berupaya mencecah 120km/j.

Saiz tayar yang digunakan oleh kedua-dua varian adalah berukuran 140/70/13 untuk roda belakang dan 120/70/12 untuk roda hadapan. Kedua-dua varian ini juga menggunakan tayar Pirelli Angel Scooter yang merupakan antara tayar yang mempunyai cengkaman agak baik setanding dengan harga pasarannya.

KESIMPULAN

Jika markah penuh yang ingin diberikan adalah 100 peratus untuk menilai skuter ini, saya dengan mudah memberikan 70 peratus hanya disebabkan rupa fizikalnya. Canggih, ranggi, mantap, padu, adalah antara lingo bahasa ‘mat motor’ di dalam luahan memuji rupa fizikal skuter ini. 

Namun, sebaik sahaja harganya diumumkan, kebanyakan yang hadir rata-rata mengangkat kening dan mengeluh. Dragster 125 dipasarkan pada harga RM29,500 dan Dragster 200 pada harga RM34,800, sebelum cukai jalan, insurans dan caj pendaftaran. Sebut harga tersebut bukanlah satu harga yang diluar jangkauan, tetapi memandangkan kapasiti kuasanya yang hanya 125 dan 200, ia jauh lebih mahal daripada skuter-skuter seperti Xmax, Forza, Wmoto RT2, Modenas Elegance mahupun SYM. Begitupun keunikan seni reka mekanikalnya, penggunaan brek Brembo, tayar Pirelli serta rekaan daripada Itali harus diambil kira mengenai logik harganya.

Harga pasaran yang boleh dikatakan agak mahal ini sudah tentu menjadikan ia sebuah skuter ‘kayangan’ yang bakal dimiliki oleh pembeli-pembeli yang tidak akan mempersoalkan harga sebuah karya seni.

Chear Global Sdn. Bhd. memasarkan Dragster ini sebagai sebuah urban superbike dan untuk dimiliki bagi mereka yang mementingkan prestasi, keunggulan dan kelainan. Kita lihat nanti apakah jalan raya tempatan akan dipenuhi oleh skuter-skuter sport dari Itali dalam jangka masa terdekat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya