Insentif Gamelan bantu promosi pelancongan negara - Utusan Malaysia

Insentif Gamelan bantu promosi pelancongan negara

ORANG ramai mengambil kesempatan bercuti di Pulau Langkawi, Kedah selepas sempadan negara dibuka semula. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Insentif Geran Padanan Galakan Melancong (Gamelan) bagi pemulihan sektor pelancongan tempatan dilihat mampu meningkatkan usaha mempromosikan negara sebagai antara destinasi pelancongan pilihan dunia.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis berkata, insentif berbentuk geran padanan berjumlah RM90 juta itu mampu memberikan penggiat sektor pelancongan menekankan promosi seterusnya bersaing dengan negara-negara jiran.

“Kita semua tahu industri pelancongan sangat penting untuk membina semula ekonomi negara dan geran padanan Gamelan ini amat tepat kerana kos untuk promosi juga bukannya murah.

“Dengan peruntukan tersebut, industri boleh meluaskan promosi ke luar negara dengan menyertai pameran perdagangan dan sebagainya. Menerusi usaha itu, kita boleh berjumpa rakan niaga dari luar negara dan mengikut seruan kerajaan untuk menarik pelancong bernilai tinggi daripada segmen pasaran khusus seperti ekopelancongan dan sebagainya.

“Selain itu, paling mudah, pihak industri juga boleh mempertingkatkan promosi dalam talian menggunakan insentif yang diberikan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pembentangan Bajet 2023, kerajaan menyasarkan ketibaan pelancong asing lebih daripada 15 juta pelancong dengan nilai pendapatan RM47.6 bilion pada tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi memperkukuh pemulihan sektor pelancongan, RM200 juta disediakan untuk galakan, promosi dan pemasaran.

Selain itu, sejumlah RM90 juta disediakan dalam bentuk geran sepadan untuk program seperti Gamelan yang melibatkan kempen promosi dan pemasaran bersama industri. 

Jelas Uzairi, turut mendapat sambutan adalah pengecualian duti eksais 50 peratus ke atas pembelian kenderaan pelancongan CKD bagi kegunaan kereta sewa dan pandu serta bas persiaran.

“Insentif ini menggalakkan pihak industri untuk membeli kenderaan yang bersesuaian dengan mod pelancongan semasa seperti karavan dan sebagainya.

“Ini kerana, pelancongan semasa lebih banyak membabitkan kumpulan kecil atau individu dan bukannya dalam bentuk kumpulan besar seperti sebelum ini.

“Jadi, insentif ini akan membantu penggiat industri pelancongan menyediakan kemudahan yang lebih mengikut gaya pelancongan terkini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya