PETALING JAYA: Kenaikan harga di negara ini dijangka lebih perlahan menuju 2023 di tengah-tengah bekalan makanan yang lebih baik, harga komoditi lebih rendah dan peningkatan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
MIDF Research berkata, penurunan berterusan harga siling minyak sawit dalam botol mencerminkan kesan positif pembetulan sederhana dalam harga komoditi global.
“Berikutan penyambungan semula eksport bijirin dari Ukraine, inflasi makanan global telah menunjukkan trend penyederhanaan sejak Julai 2022.
“Kami percaya inflasi makanan domestik alam susut secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam nota kajian.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun menjelaskan, penyusutan ringgit berbanding dolar AS akan terus melebarkan bil import makanan Malaysia, terutamanya dengan menjadi negara pengimport bersih makanan.
“Secara keseluruhan, kami mengunjurkan kadar inflasi keseluruhan 2022 akan berada pada purata tiga peratus, secara relatifnya stabil dalam kalangan negara serantau yang antara lain diimbangi oleh harga bahan api runcit disubsidi.
“Kami mengunjurkan inflasi keseluruhan akan berada pada purata 2.3 peratus tahun depan,” katanya.
Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan harga minyak masak tulen botol lima kilogram (kg) diturunkan kepada RM31.50 berbanding RM33.50 bermula 8 Oktober hingga 7 November ini.
Harga baharu itu ditetapkan susulan harga purata minyak sawit mentah yang lebih rendah. – UTUSAN