Hyundai lancar Staria 10 tempat duduk - Utusan Malaysia

Hyundai lancar Staria 10 tempat duduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) melancarkan Hyundai Staria 10 tempat duduk dengan tiga varian untuk dipilih iaitu Lite, Plus dan Max dengan harga tanpa insurans bermula daripada RM179,888.

Pengarah Urusan Hyundai Sime Darby Motors, Low Yuan Lung berkata, model itu akan menggantikan model Hyundai Starex yang kini sudah dihentikan pengeluarannya sejak tahun lalu. 

“Bagi 100 tempahan pertama, pelanggan boleh terus menerima kereta mereka kerana kami mempunyai stok tersedia, namun pelanggan selepas itu perlu menunggu di antara sebulan hingga dua bulan sebelum dapat menerima kereta.

“Ini kerana, pada masa ini memang menjadi cabaran untuk semua syarikat automotif mendapatkan stok dengan cepat susulan gangguan bekalan cip yang masih berlaku,” katanya dalam Majlis Pelancaran Staria baharu, di sini semalam. 

Jelas beliau, Staria model baharu itu menawarkan fleksibiliti maksimum dengan konfigurasi tempat duduk.

“Ia mempunyai kapasiti pemuatan sehingga 1,024 liter dengan tempat duduk rata penuh. Selain menggunakannya sebagai pengangkutan kargo atau membawa penumpang, ia juga boleh diubah menjadi katil untuk tujuan berkelah. 

“Staria yang mempunyai 10 tempat duduk ini direka untuk menampung pelbagai gaya hidup dan keperluan perniagaan. 

“Ruang dalaman dan fungsinya bertujuan mengubah pengalaman perjalanan pemilik dan memberikan fleksibiliti penggunaan yang lebih besar mengikut keperluan mereka,” katanya. 

Hyundai Staria menawarkan tiga pilihan varian iaitu Lite, Plus dan Max dengan masing-masing dijual pada harga atas jalan di Semenanjung Malaysia pada RM179,888, RM196,888 dan RM209,888 tidak termasuk insurans.

Harga itu termasuk jaminan dua tahun atau perbatuan 50,000 kilometer (km), yang mana dahulu.

Namun, pelanggan mempunyai pilihan untuk menaik taraf kepada jaminan lima tahun atau 500,000 km atau yang mana dahulu serta servis percuma selama tiga tahun atau 50,000 km, yang mana dahulu dengan tambahan bayaran RM10,000.

Direka untuk keluarga besar dan kegunaan perniagaan, kenderaan tersebut ialah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang didatangkan dengan susun atur tempat duduk 2-3-2-3. 

Ia mempunyai ruang simpanan yang lebih mudah dan tempat duduk yang boleh digerakkan ke hadapan untuk mencipta ruang sendiri seperti untuk pengangkutan kargo dan peralatan sukan atau untuk aktiviti berkelah. 

Penggunaan ruang dalaman yang inovatif dicetuskan oleh jarak roda MPV 3,273 milimeter (mm) dengan panjang keseluruhan 5,253 mm dan lebar 1,997 mm.

Ketinggian keseluruhannya ialah 1,990 mm dioptimumkan untuk penumpang mudah masuk dan keluar daripada kenderaan.

Ruang kaki Staria yang luas serta tingkap sisi yang besar adalah antara ciri terbaik dalam segmennya. 

Bahagian dalamnnya disusun atur dengan ringkas dan sederhana untuk keselesaan pemanda dan penumpang sambil mengekalkan reka bentuk asal MPV. 

Bahagian dalamannya yang diilhamkan oleh kapal persiaran memberikan suasana terbuka dan unik melalui seni binanya yang inovatif. 

Varian Lite didatangkan dengan tempat duduk fabrik hitam, manakala tempat duduk separa kulit karbon untuk varian Plus, dan tempat duduk kulit Black Nappa untuk varian Max.

MPV tersebut mempunyai enjin 2.2 CRDi berkuasa diesel yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. 

Ia memberikan anggaran output kuasa 177PS dan 431Nm tork. 

Staria itu juga mempunyai keselamatan kenderaan tertinggi dengan semua tempat duduk dilengkapi dengan tali pinggang keledar tiga mata dan sandaran kepala. 

Ia juga dilengkapi dengan Hyundai Smartsense, keselamatan aktif dan teknologi bantuan pemanduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya