SINGAPURA: Harga minyak naik lebih tinggi dalam sesi dagangan awal Asia pada Selasa, dengan jangkaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mungkin bersetuju dengan pengurangan besar dalam pengeluaran minyak mentah dalam mesyuarat minggu ini.
Niaga hadapan minyak mentah Brent telah meningkat 43 sen atau 0.5 peratus, kepada AS$89.29 (RM414.66) setong, selepas meningkat lebih daripada 4.0 peratus pada sesi sebelumnya.
Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) meningkat sebanyak 22 sen atau 0.3 peratus kepada AS$83.85 (RM389.40) setong.
Penanda aras itu memperoleh lebih daripada 5.0 peratus pada sesi sebelumnya, menandakan keuntungan harian terbesar sejak Mei.
Harga minyak meningkat pada Isnin berikutan kebimbangan baharu tentang kekurangan bekalan.
Terdapat jangkaan bahawa OPEC+ akan mengurangkan pengeluaran lebih daripada satu juta tong sehari (bpd) dalam mesyuarat pertama mereka sejak 2020 yang akan diadakan pada Rabu ini.
Menurut sumber OPEC, pemotongan sukarela oleh individu anggota boleh menjadi tambahan kepada ini, menjadikannya pemotongan terbesar mereka sejak pandemik Covid-19 bermula.
Penganalisis kanan OANDA. Edward Moya berkata, walaupun peperangan sedang berlaku di Ukraine, OPEC+ tidak pernah sekuat ini.
“Mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan harga minyak disokong di sini,” katanya dalam satu nota kajian.
OPEC+ telah meningkatkan pengeluaran tahun ini selepas pemotongan rekod dilakukan pada 2020 berikutan kemusnahan permintaan yang disebabkan oleh wabak itu.
Tetapi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, organisasi itu gagal memenuhi peningkatan pengeluaran yang dirancang, hilang pada Julai sebanyak 2.9 juta bpd.
Sementara itu, syarikat Goldman Sachs berkata, pemotongan pengeluaran yang dipertimbangkan adalah wajar susulan penurunan mendadak dalam harga minyak daripada paras tertinggi baru-baru ini.
Jelasnya, itu mengukuhkan pandangannya terhadap kenaikan harga minyak.
Penganalisis CMC Markets, Tina Teng pula berkata, kebimbangan mengenai ekonomi global boleh mengehadkan peningkatan.
“Itu kerana pelabur juga melihat untuk mengambil keuntungan daripada keuntungan yang diperoleh pada sesi sebelumnya.
“Ketidakpastian kekal dalam pasaran global, seperti kegawatan pasaran bon, penjualan aset berisiko, dan dolar AS yang melonjak tinggi,” katanya.
Harga minyak telah turun selama empat bulan berturut-turut apabila penutupan Covid-19 di China mengekang permintaan, manakala kenaikan kadar faedah dan dolar AS yang melambung tinggi menekan pasaran kewangan global.
Bank pusat utama telah memulakan pusingan kenaikan kadar paling agresif dalam beberapa dekad, mencetuskan kebimbangan kelembapan ekonomi global.
Menurut tinjauan Reuters pada Isnin lalu, stok minyak mentah AS dianggarkan meningkat sekitar dua juta tong dalam seminggu hingga 30 September ini. – AGENSI