PETALING JAYA: Quinton Capital Sdn. Bhd., sebuah cabang syarikat pelaburan Quinton Group bersama ECH World Wide Energy (M) Sdn. Bhd. komited untuk menerajui pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui di Malaysia menerusi kerjasama dengan CIP Software Corporation Jepun.
Kerjasama ini sejajar dengan matlamat negara untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.
Bidang kerjasama yang dipersetujui merangkumi pengeluaran bateri magnesium serta pembangunan pelan strategik untuk menyediakan tenaga boleh diperbaharui melalui penyahgaraman air dan teknologi penapisan laser.
Pengarah CIP, Profesor Takashi Yabe yang merupakan ahli sains di Tokyo Institute of Technology (TIT) berkata, CIP berpegang teguh pada misi untuk menyumbang dan mewujudkan masyarakat mampan yang bebas karbon melalui penggunaan kuasa magnesium.
“Saya teruja untuk mengumumkan bahawa teknologi yang berjaya dicipta ini kini menuju ke peringkat penggunaan praktikal,” katanya dalam kenyataan.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECH, Eng Chin Heng dan Takashi Yabe, disaksikan oleh Pengarah Urusan Quinton Group, Datuk Dr. Kenny Tan dan Pengarah ECH, Profesor Yoshitaka Matsushima.
Perjanjian perkongsian ini merangkumi pemilikan hak eksklusif ECH dan Quinton Capital untuk menggunakan teknologi yang dipaten oleh CIP dalam pembangunan dan pengedaran bateri magnesium, penyahgaraman air serta peralatan penapisan laser di 13 buah negara Asia.
Penubuhan kilang untuk menghasilkan tenaga mampan yang bakal menguntungkan bidang pelaburan turut menjadi keutamaan bersama.
Sementara itu, Chin Heng berkata, pembinaan infrastruktur tenaga baharu memerlukan modal serta kemahiran teknikal yang mencukupi.
“Kedua-dua syarikat CIP dan ECH berkomitmen untuk berkongsi teknologi eksklusif, pengalaman dan kepakaran melalui inisiatif bersama. Usahasama ini bakal menerokai pembangunan tenaga mampan serta meningkatkan keberkesanan penggunaan tenaga yang lebih bersih,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kenny berkata, tenaga boleh baharu semakin berkembang pesat dalam pasaran antarabangsa jadi sekiranya ingin memimpin pasaran, usaha sama daripada pakar industri amat penting untuk membangunkan inisiatif tenaga mampan.
“Pembentukan hubungan yang strategik ini seiring dengan usaha teguh kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon telah meningkatkan keyakinan kami terhadap prospek pasaran pelaburan tenaga boleh baharu bagi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).” ujarnya.
Perlaksanaan projek tenaga mampan baharu dengan menggunakan teknologi eksklusif CIP yang hanya tersedia di negara Jepun akan memberi manfaat besar terhadap pembangunan alam sekitar hijau dan tenaga mampan di Malaysia.
Maklumat sampingan, suntikan modal ECH ke dalam Quinton Capital kini berada pada peringkat pemprosesan terakhir. Setelah segala prosedur selesai, pengagihan dana akan dilaksanakan dengan secepat mungkin.
Selain menambah rizab modal Quinton Group, dana ini akan memperkasa pertumbuhan syarikat.