Aprilia SR GT 200 Sports, skuter urban elit - Utusan Malaysia

Aprilia SR GT 200 Sports, skuter urban elit

Aprilia SR GT 200 Sports
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja nama Aprilia, pencinta dua roda akan mengaitkan tentang dua perkara iaitu jentera dari Itali dan perlumbaan. Aprilia sememangnya tidak asing lagi dengan pasaran tempatan yang mana jentera dua lejang 125cc dan 250cc telah diperkenalkan sejak 1997. Ketika itu, jentera sports dua lejang yang begitu mirip dengan jentera motoGP kategori 125 dan 250cc yang mengetengahkan nama-nama gah seperti Valentino Rossi, Tetsuya Harada dan Max Biaggi. 

Aprilia dipasarkan oleh DiDi Group yang berpangkalan di Motoplex, Petaling Jaya, memperkenalkan skuter Aprilia ini beberapa bulan lalu. Model ini telah dipasang di Vietnam dan membolehkan harga pasarannya agak kompetitif untuk pasaran skuter tempatan. 

PENAMPILAN

Diperkenalkan dengan dua variasi iaitu SR GT 200 dan SR GT 200 Sports (hanya memperlihatkan perbezaan skim warna Street Gold, Iridium Grey dan Red Raceway serta logo “a” Aprilia yang menyerlah serta kusyen pelana yang mempunyai dua tona warna iaitu hitam dan kelabu.

REKAAN bahagian ekor menyerupai jentera perlumbaan.

Skuter Aprilia ini menampilkan konsep skuter Urban atau Sport yang menampakkan jalur-jalur rekaan yang agresif dan moden. Namun, saya agak kecewa kerana skuter ini tidak didatangkan dengan fork terbalik atau USD yang sudah tentu menyerlahkan lagi rupa fizikal dan meneruskan tradisi imej sporty Aprilia. Dari segi fizikal pula, ia agak kecil dan kompak selain mungkin tidak sesuai untuk mereka yang memiliki ketinggian lebih daripada 165 sentimeter (cm).

Lampu hadapan skuter ini mempunyai penampilan yang hampir serupa dengan skuter-skuter lain di pasaran iaitu mempunyai lampu DRL (Daylight Riding Lights) LED yang disertakan  dengan lampu utama beserta lampu tengah sebagai lampu sokongan untuk suasana yang lebih gelap. 

Menjengah ke meter LCD penuhnya, saya rasakan sedikit kecewa kerana walaupun mempunyai LCD sepenuhnya tapi jenis monokrom (latar belakang hitam dan angka-angkanya berwarna putih) dan bukan TFT yang berwarna yang lebih sinonim dengan kecanggihan teknologi yang dibawa oleh jentera-jentera Aprilia yang lain.

METER LCD penuh jenis monokrom

Nilai estetika yang lain yang cuba diketengahkan ialah pelana skuter ini iaitu dengan rekaan bertingkatnya yang menjanjikan keselesaan, namun tetap menampakkan sporty. Sementara ruang kakinya dirasakan agak sedikit sempit, akan tetapi atas imej sporty yang ingin ditampilkan ini jugalah, faktor-faktor keselesaan selalunya diketepikan.

 

PENUNGGANGAN

Berkapasiti 174cc, silinder tunggal sejukan cecair dengan SOHC, dipacu sistem suntikan bahanapi elektronik (EFI) memberikan kuasa tujahan penunggangan yang agak mendatar bagi saya. Kuasa penghantaran skuter ini hanya mula dapat dirasakan ketika dalam julat pertengahan dan hujung (top speed), namun sedikit lemah di julat bawahan (low end). Prestasi ini agak menghairankan kerana selain kapasiti kuasa enjinya yang besar, ia tidak memberikan rasa tujahan berkuasa daripada keadaan statik. Namun, ketika RPM sudah mula mendekati 5,000, skuter ini mula menunjukkan kelebihannya meluncur dengan baik dan berkuasa. Percubaan saya untuk mendapatkan kelajuan tertinggi Aprilia ini, menyaksikan saya hanya berjaya mendapat sekitar 120-125km/j. Saya kurang pasti apakah kelajuan sebenar SR GT200 Sports ini sekiranya diukur dengan GPS, namun untuk sebuah skuter urban adventure, kelajuan maksimum ini dirasakan memadai.

RUANG penyimpang barangan bawah pelana

SR GT 200 Sports menggunakan roda 14 inci untuk hadapan dan 13 inci untuk belakang, membolehkan dwi kelebihan iaitu permukaan cengkaman tayar yang lebih lebar dan kebolehan pengendalian yang ringan dan mudah dalam bandar atau ketika dalam kesesakan jalan raya. 

Sistem suspensinya pula adalah antara yang terbaik dalam kelasnya. Ini berdasarkan bukan hanya terhadap kebolehan jentera ini menyerap hentakan, jalan raya tidak rata atau jalan raya rosak, tetapi pengambilan selekoh juga stabil dan mencengkam. 

 

KESIMPULAN

Skuter Aprilia SR GT 200 Sports ini, selain datang daripada ‘keluarga’ Itali yang berprestij, saya dapati ia terlalu biasa dalam kelasnya. Kapasiti enjinnya 174cc dirasakan agak pelik kerana menggunakan nama SR GT 200, dan atas sebab kapasiti enjin ini juga, ia mempunyai rasa tujahan (pikap) yang sama dengan saingan skuter sportsnya iaitu Yamaha NVX 155cc. Prestasinya sudah tentu tidak setanding dengan skuter-skuter maxi 250cc dan tidak adil juga membandingkannya dengan kebanyakan skuter-skuter urban sekelas dengannya yang rata-rata hanya berkapasiti 150-155cc.

Sekiranya faktor pengendalian dijadikan faktor utama tarikan jentera ini, sistem suspensi, tayar dan casis, boleh dikatakan ia mendahului saingan-saingannya. Bagaimanapun, faktor harga jualan, iaitu RM19,900 untuk versi biasa dan RM20,900 untuk versi Sports seakan tidak memadai kerana perbezaannya hanya warna skuter dan pelananya. Malah, sekiranya membandingkan harga jualan saingan sekelas dengannya, ternyata SR GT ini mempunyai harga jualan sekitar RM10,000 lebih mahal daripada skuter sports atau urban dari negara matahari terbit itu. Kelebihan 19cc ternyata tidak dapat memberi jarak prestasi yang jauh daripada saingan skuter-skuter lain.

Melainkan anda seorang peminat tegar jenama dari Itali dan inginkan kelainan, Aprilia SR GT 200 Sports ini mampu memberikan anda keterujaan berada dalam golongan elit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya