Shopee, MDEC sumbang RM109 juta untuk JMKM@DE Dagang - Utusan Malaysia

Shopee, MDEC sumbang RM109 juta untuk JMKM@DE Dagang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Shopee dan Malaysia Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyumbang sejumlah RM109 juta untuk menyokong para penjual tempatan melalui Jualan Murah Keluarga Malaysia @DE Dagang (JMKM@DE Dagang) sehingga akhir tahun ini.

Melalui program ini, Shopee dan MDEC akan memadankan sumbangan masing-masing yang berjumlah hingga RM54.5 juta daripada setiap pihak bagi memberikan subsidi jualan dan subsidi penjual kepada penjual tempatan.

Subsidi itu membolehkan kira-kira 100,000 peniaga tempatan memacu jualan dalam talian, terutamanya mereka yang terlibat khususnya dalam bidang eksport, pelancongan dan produk kraf.

Ia bertujuan meningkatkan kepercayaan rakyat Malaysia untuk membeli daripada perniagaan tempatan, serta memastikan penjual kekal berdaya maju dan berdaya saing. 

Rakyat Malaysia juga bakal menikmati penjimatan hingga 20 peratus atau hingga RM500 pada setiap transaksi melalui diskaun, pulangan tunai dan baucar penghantaran.

Ketua Pemasaran Jenama di Shopee Malaysia, Huiyan Pan berkata, JMKM@DE Dagang akan membantu peniaga tempatan menurunkan kos operasi, memanfaatkan peluang baharu dalam talian, serta mengukuhkan kebolehsuaian dan daya tahan perniagaan tempatan.

“Bersama MDEC, kami dapat memacu sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global memandangkan sumbangan tambahan ini akan menghubungkan penjual tempatan kepada lebih ramai pelanggan yang mengutamakan aspek digital. 

“Kami akan terus meningkatkan usaha kami dalam mempromosikan produk keluaran tempatan demi memberi impak yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, MDEC akan terus memangkin pertumbuhan e-dagang di Malaysia melalui kerjasama rapat dengan rakan kongsi ekosistem digital.

“Melalui program ini, kami berharap dapat membantu perniagaan tempatan dan komuniti yang tidak berapa stabil dari segi ekonomi untuk mencapai khalayak yang lebih luas serta memasarkan produk dan perkhidmatan mereka tanpa mengira lokasi. 

“Itu juga akan membantu mengekalkan pendapatan ramai dan meminimumkan kehilangan pekerjaan,” jelasnya.

Sepanjang tahun lalu, kempen Shop Malaysia Online (SMO) dan Go-eCommerce Onboarding menyaksikan sokongan padu daripada penjual dan pengguna yang menjana lebih daripada 10 juta pesanan secara keseluruhan.

Sebanyak 85 peratus daripada PKS mikro yang mengambil bahagian dalam kedua-dua kempen tersebut merupakan penjual baharu kepada Shopee. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN