Ringgit jatuh, harga barangan import meningkat - Utusan Malaysia

Ringgit jatuh, harga barangan import meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit yang terus menjunam akan menyebabkan peniaga barangan atau komponen yang diimport dari luar negara terpaksa meletakkan harga yang lebih tinggi untuk dijual. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, industri dan perniagaan yang bergantung kepada barangan atau komponen yang diimport dari luar negara terpaksa meletakkan harga jualan yang lebih tinggi dan itu akan menyebabkan ia menjadi kurang kompetitif.

“Pembeli juga akan terkesan kerana terpaksa membayar dengan harga lebih tinggi  dan itu sekali gus akan mengurangkan aktiviti jualan,” katanya.

Akhir minggu lalu, ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mencecah paras RM4.53 yang juga terendah sejak krisis kewangan Asia.

Pada akhir sesi dagangan Khamis lalu, mata wang tempatan itu susut kepada 4.5330/5375 berbanding dolar AS daripada 4.5250/5290 pada akhir urus niaga Rabu.

Menurut penganalisis, berikutan ketiadaan sebarang pemangkin baharu sebagai penarik ringgit, kalangan pelabur sebaliknya lebih menumpukan kepada dolar AS serta aset selamat lain.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran ActivTrades, Alexander Londono berkata, pengukuhan dolar AS itu didorong oleh jangkaan peningkatan inflasi secara berterusan.

Menurutnya, penyusutan Bursa Malaysia turut memberi tempias terhadap ringgit apabila indeks petunjuk utama FBM KLCI susut sebanyak 1.13 mata kepada 1,467.31 pada Khamis daripada 1,468.44 pada Rabu.

“Di peringkat luar, sekiranya angka jualan runcit AS lebih baik daripada dijangkakan, ini akan menyuntik kenaikan dolar AS dan akibatnya gandingan ringgit-AS akan terus susut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya