PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani dilantik sebagai Pengarah dan Ahli Lembaga Pengarah Pertama Digital Berhad.
Pelantikan ini adalah yang pertama sejak pelupusan kepentingan Pertama Digital dalam syarikat tekstil yang berpangkalan di China, BeTop Group Limited dan menandakan satu langkah penting dalam transformasi Pertama Digital.
Nik Norzul kini merupakan Pengerusi dan Rakan Kongsi Kanan Zaid Ibrahim & Co., sebuah firma undang-undang ahli ZICO Law.
Beliau kini menasihati pelbagai perkara berkaitan undang-undang yang merangkumi kewangan Islam, perbankan, kewangan luar pesisir, penstrukturan semula hutang, undang-undang antarabangsa, korporat dan komersial.
Khidmat nasihat beliau juga termasuk urus niaga penyusunan semula hutang dan korporat dan penerbitan sekuriti hutang swasta termasuk instrumen kewangan Islam (domestik dan antarabangsa).
Menurut Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Tun Datuk Seri Zaki Tun Azmi, pelantikan itu penting dalam membantu kami melangkah ke hadapan untuk menjadi perniagaan patuh syariah sepenuhnya serta memberi nasihat mengenai projek pembesaran masa depan.
“Pengalaman beliau yang luas akan sangat bernilai apabila kami mengembangkan perniagaaan di dalam dan luar negara. Kami juga berusaha untuk lebih kepelbagaian ahli lembaga kami dengan perwakilan dari pelbagai bidang dan latar belakang.
“Syarikat patuh syariah yang berjaya selalunya mempunyai garis panduan tadbir urus tambahan dan khusus untuk memastikan pematuhan peraturan dengan etika sebagai tonggak utama kejayaan.
“Ini menjadikan tadbir urus korporat keseluruhan yang lebih baik dengan tahap etika yang lebih tinggi yang dipaparkan oleh semua ahli Lembaga Pengarah kami,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga pernah menjadi penasihat undang-undang untuk beberapa penggabungan dan pengambilalihan dan memberi nasihat secara umumnya mengenai isu-isu kawal selia dan pematuhan.
Pertama Digital berusaha untuk memanfaatkan pengalaman luas beliau dalam bidang utama ini sambil syarikat meneruskan trajektori pertumbuhan.
Sementara itu, Pengarah Strategi, Saify Akhtar berkata, pihak pengurusan yakin beliau akan sesuai dengan rancangan kami pada masa hadapan, terutamanya apabila kami mendalami strategi neobanking dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kami mempunyai usaha niaga yang menarik dalam perancangan dan pengalaman beliau akan memastikan kejayaan dalam rancangan masa depan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN