TOKYO: Restoran makanan segera, McDonald’s Jepun akan menaikkan harga makanan kira-kira 60 peratus, didorong oleh peningkatan kos input dan turun naik kadar pertukaran mata wang, kata syarikat itu semalam.
Menurut McDonald’s, ia kenaikan kedua pada tahun ini ketika Jepun bergelut dengan tekanan inflasi dan kejatuhan yen ke paras terendah 24 tahun, menjadikan bahan-bahan import lebih mahal.
“Mulai Jumaat ini, harga hamburger Big Mac akan meningkat kepada ¥410 (AS$2.85/RM13.11) daripada ¥390 (RM12.44),” kata McDonald’s Holding Company Japan Ltd dalam satu kenyataan, mencerminkan kenaikan ¥10 (RM0.32) hingga ¥30 (RM0.96) pada kebanyakan item.
Big Mac berharga AS$5.15 (RM23.68) di AS, menurut indeks harga majalah The Economist. Perbezaan harga menunjukkan bahawa mata wang Jepun telah susut sebanyak 45 peratus, berdasarkan kadar pertukaran yang dikemas kini kali terakhir pada Julai lalu, lapor Reuters.
McDonald’s Japan menaikkan harga burger keju daripada ¥140 (RM4.47) kepada ¥180 (RM5.74) mulai Jumaat, kenaikan kedua untuk tahun ini.
Peningkatan kos pengeluaran dan kejatuhan yen telah mendorong kenaikan harga makanan sebanyak 60 peratus di kebanyakan restoran utama Jepun, menurut tinjauan Tokyo Shoko Research yang dikeluarkan baru-baru ini.
Dalam perkembangan berasingan, Duskin Co turut mengumumkan kenaikan harga kebanyakan barangan di kedai Mister Donut kira-kira 7.4 peratus mulai 25 November ini. – AGENSI