Kenaikan OPR beri kesan jangka panjang kepada peminjam - Utusan Malaysia

Kenaikan OPR beri kesan jangka panjang kepada peminjam

BANK Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat akan memberi kesan kepada peminjam perumahan terutamanya golongan B40.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kenaikan OPR itu memang dijangka kerana kadar OPR pada masa kini masih rendah berbanding kadar sebelum pandemik iaitu 3.25 peratus. 

“Bagaimanapun, kenaikan sebanyak tiga kali pada tahun ini akan menyebabkan peminjam perumahan terutamanya golongan B40 mengalami peningkatan bayaran bulanan. 

“Sebagai contoh, jika pinjaman perumahan sebanyak RM300,000, peningkatan bayaran bulanan akan hampir mencecah RM200. 

“Jika isi rumah hanya meminjam pinjaman jangka pendek seperti kereta, mereka tidak akan terjejas. 

“Namun, rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana akan terjejas jika mereka ada pinjaman jangka panjang seperti perumahan dan pinjaman peribadi,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, institusi perbankan boleh memainkan peranan bagi mengatasi kesan limpahan daripada kenaikan OPR itu. 

“Institusi perbankan boleh memainkan peranan tambah nilai dengan mengecualikan peminjam sedia ada seperti PKS dan golongan B40 dari kenaikan faedah itu dan hanya mengenakan faedah kepada peminjam baharu,” katanya. 

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ia adalah kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN