SINGAPURA: Kekayaan kolektif 50 taikun terkaya Singapura telah jatuh lebih 20 peratus kepada AS$164 bilion (RM738 bilion) berbanding setahun lalu, menurut Forbes Asia.
Dalam satu kenyataan, majalah itu berkata, di sebalik usaha Singapura terus menarik warga asing yang kaya, isu global menjejaskan gabungan kekayaan taikun dalam senarai 50 orang terkaya Singapura 2022 Forbes.
Nilai bersih adalah berdasarkan harga saham dan kadar pertukaran setakat penutupan pasaran pada 19 Ogos 2022.
Ia berkata, reputasi Singapura sebagai tempat selamat yang kukuh semasa pandemik Covid-19 menjadikannya magnet bagi golongan kaya.
“Kemasukan berterusan warga asing yang kaya meningkatkan sektor hartanah negara bandar itu, sekali gus menaikkan harga dan sewa.
“Pelonggaran sekatan sempadan dari April lalu membawa kepada peningkatan dalam pelawat antarabangsa, menyebabkan kadar hotel melonjak,” katanya.
Di sebalik trend positif ini, inflasi yang meningkat dan kekalahan teknologi global ‘meruntuhkan’ kekayaan gabungan 50 orang terkaya di Singapura, dan susunan lima teratas mencerminkan realiti pasca pandemik.
Forbes Asia berkata, memegang tempat pertama ialah Pengasas dan Pengerusi Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, Li Xiting yang menyaksikan kekayaannya menyusut hampir satu pertiga kepada AS$15.6 bilion.
Majalah itu berkata saham dalam pembuat peranti perubatannya menurun disebabkan pertumbuhan jualan yang lebih perlahan.
Katanya, pemulihan hartanah dan maklumat baharu mengenai pegangan hartanah mereka melonjakkan adik-beradik Robert dan Philip Ng ke tempat kedua dengan AS$15.2 bilion, meningkat daripada AS$14.2 bilion tahun lepas.
“Kekayaan hartawan cat berusia 95 tahun, Goh Cheng Liang, yang mengawal Nippon Paint Holdings Jepun, turun 30 peratus kepada AS$13 bilion, namun kekal di tangga ketiga.
“Penjual teknologi, Eduardo Saverin jatuh ke tangga keempat dengan nilai kekayaan AS$9.6 bilion seterusnya Pengerusi Eksekutif City Developments Ltd., Kwek Leng Beng di tangga kelima dengan nilai kekayaan AS$9.3 bilion, meningkat daripada AS$8.5 bilion tahun lepas,” katanya.
Tiga nama daripada tahun lepas digugurkan termasuk pengasas pertukaran kripto Binance, Changpeng Zhao yang telah berpindah ke Dubai. – AGENSI