PETALING JAYA: Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022, peningkatan 15 peratus tahun ke tahun.
Jumlah pendapatan bagi tahun kewangan 2022 pula mencatatkan pertumbuhan 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM5.6 bilion, disokong pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi tetapi telah dinafikan oleh sumbangan pendapatan bukan faedah yang lebih rendah berbanding keadaan pasaran yang tidak menggalakkan.
Pendapatan faedah bersih bagi suku keempat 2022 meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada RM1.16 bilion diterajui oleh pengembangan pinjaman dan pembiayaan yang kukuh serta usaha berterusan dalam mengoptimumkan kos pembiayaan.
Justeru, pendapatan faedah bersih meningkat 7.2 peratus tahun ke tahun pada RM4.6 bilion, diterjemahkan kepada margin faedah bersih (NIM) sebanyak 2.14 peratus untuk tahun kewangan 2022.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, walaupun menghadapi tekanan makroekonomi yang berterusan akibat ketegangan geopolitik, inflasi yang meningkat di peringkat global dan kebangkitan semula kes Covid-19, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk pemulihan berterusan aktiviti ekonomi.
Ujarnya, ia disokong penggunaan perbelanjaan dan pemulihan dalam pelaburan perniagaan, di samping permintaan luar yang kukuh dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.
“Kami melihat permintaan yang lebih kukuh untuk pinjaman dan pembiayaan daripada pelanggan.
“Kami kekal tangkas dan menyesuaikan diri dalam latar belakang perniagaan yang mencabar ini, serta kekal fokus dalam melaksanakan keutamaan strategik kami dan menangkap peluang perniagaan untuk memberikan hasil yang mampan untuk pemegang kepentingan kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 37 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen kepada 55 sen sesaham untuk rahun kewangan 2022, dengan nisbah pembayaran dividen sebanyak 35 peratus.
Sementara itu, Hong Leong Capital Berhad (HLCB) mencatatkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM72.5 juta, penurunan sebanyak 64.4 peratus tahun ke tahun, mencerminkan aktiviti pasaran yang jauh berkurangan dalam pasaran saham tempatan.
Sumbangan keuntungan yang lebih rendah dicatatkan oleh anak syarikat operasi utama, Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) dalam tahun kewangan semasa.
Pengerusi HLCB, Tan Kong Khoon berkata, menjelang tahun kewangan 2023, pihaknya menjangkakan keadaan pasaran akan kekal mencabar dengan tekanan inflasi global yang terus memberi tekanan ke atas kadar faedah.
“Walaupun menghadapi masalah luar yang semakin meningkat, prospek pertumbuhan dalam negeri bertambah baik berikutan peralihan negara kepada endemisitas, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan peningkatan dalam keadaan pasaran buruh.
“Kami kekal komited untuk menyampaikan kemampanan dan nilai jangka panjang perniagaan kami. Untuk itu, kami akan terus menyesuaikan strategi perniagaan dan menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang sentiasa berubah,” ujarnya. – UTUSAN