BERMODALKAN hanya RM3,000 untuk membeli 100 helai sejadah, The Prayer Mat Sdn. Bhd. kini sudah mempunyai dua cawangan sendiri, di samping enam pengedar di beberapa buah negeri di seluruh negara.
Syarikat yang mula beroperasi pada awal 2020 tersebut pada awalnya hanya menjual sejadah yang diimport dari Madinah dan Mekah, Arab Saudi kepada kenalan pengasasnya, Dr. Siti Norwahida Shukri.
Namun, permintaan yang memberangsang mendorong pensyarah dari University of Hail, Arab Saudi itu mula menjual sejadah dan juga pelbagai lagi barangan seperti karpet rumah, tasbih dan minyak wangi dari tanah suci tersebut secara atas talian.
Eksekutif Operasinya, Nor Alamghir Nor Asmadi berkata, beroperasi dalam situasi pandemik Covid-19 ketika itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus bertapak sehingga mampu mencapai jualan kira-kira RM500,000 sebulan ketika ini.
Katanya, sebahagian besar daripada sumbangan jualan syarikat adalah daripada jualan dalam talian iaitu sebanyak RM400,000 dan selebihnya adalah daripada cawangan mereka di Aman Central, Kedah dan cawangan yang baharu dibuka di Bangi, Selangor.
“Sejak mula lagi perniagaan kami adalah melalui dalam talian. Pada masa itu, orang ramai tidak dapat keluar kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi banyak pembelian dibuat dari dalam talian.
“Oleh itu, kami menyahut cabaran dengan membangunkan perniagaan kami semasa pandemik. Kini selepas dua tahun, kami mula memperluaskan perniagaan dengan membuka cawangan supaya orang ramai dapat pergi dan melihat sendiri sejadah dan barangan yang dijual,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Nor Alamghir memberitahu, The Prayer Mat juga telah dianugerahkan sebagai pengedar karpet Madinah terbesar di Malaysia oleh syarikat pengeluar karpet terkemuka di Arab Saudi, MADA Carpet Company.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MADA Carpet Company, Greg Smith dan Ketua Bahagian Jualannya, Samer Abed Al Dashan kepada The Prayer Mat dalam satu majlis di Hotel Four Season Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ujar beliau, The Prayer Mat diberi pengiktirafan tersebut kerana prestasi jualannya yang memberangsangkan.
Menurutnya, selain menjual produknya sendiri di cawangan dan secara dalam talian, syarikat juga mempunyai enam pengedar iaitu di Perlis, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.
“Kami juga mempunyai kira-kira 1,000 reseller di seluruh negara termasuk di Singapura. Bagi perancangan masa depan, syarikat juga menyasarkan untuk menembusi pasaran ASEAN terutamanya di Indonesia, Singapura dan Brunei.
“Buat masa ini, kami sudah ada perbincangan dengan pihak Indonesia dan dijangka pasaran tersebut dapat ditembusi pada tahun depan.
“Indonesia adalah satu pasaran yang berpotensi kerana kuasa beli atas talian mereka juga agak tinggi,” jelasnya.
Tambahnya, produk mereka bermula daripada RM45 boleh didapati di laman web https://theprayermatmalaysia.com/. – UTUSAN