PETALING JAYA: Pakar kejuruteraan awam Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PT. Semesta Noor Berkarya (SNB) dan PT. Envy Manajemen Konsultansi (EMK) untuk meneroka pembentukan perkongsian pembinaan menara telekomunikasi 4G untuk kawasan pinggiran Indonesia.
Di bawah MoU itu, SCIB akan menaungi pembentukan perkongsian serta menyediakan persediaan pengurusan korporat.
Projek di bawah Agensi Kebolehcapaian Telekomunikasi dan Maklumat Indonesia (Bakti) itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan melibatkan pembinaan dan pemasangan menara telekomunikasi 4G di sebanyak 3,704 kampung.
Bakti adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat yang ditugaskan untuk menyediakan rangkaian telekomunikasi.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan SNB dan EMK dalam projek yang merupakan sebahagian daripada dorongan untuk menyediakan akses internet ke kawasan pinggiran, terpencil dan kurang membangun di Indonesia sebagai sebahagian daripada rangka kerja transformasi digital negara.
“SCIB mempunyai kelebihan tersendiri untuk projek ini kerana lebih 60 peratus tapak cadangan menara telekomunikasi 4G terletak di Kalimantan, Borneo Indonesia, yang menyediakan peluang optimum untuk mensinergikan perniagaan kami kerana tiga kilang kami terletak di Kuching, Sarawak .
“Projek ini menyokong strategi kami untuk mempelbagaikan secara geografi dengan mencari peluang untuk perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kami, dan kami pastinya akan mengambil peluang ini untuk turut meneroka peranan dalam pembinaan modal baharu Indonesia yang bernilai berbilion dolar,” katanya dalam kenyataan.
SCIB memanfaatkan perniagaan pembuatannya yang mengeluarkan bahan binaan serta Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk melengkapkan perniagaan EPCC.
SNB, adalah pakar kejuruteraan, perolehan dan pembinaan yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan projek domestik berskala besar akan membina dan memasang menara telekomunikasi 4G, termasuk tinjauan tapak dan pemerolehan serta infrastruktur sokongan lain.
EMK, yang terlibat dalam khidmat nasihat perniagaan, perundingan, pengurusan projek dan aktiviti pengurusan korporat lain, akan menyediakan perkhidmatan pengurusan projek melalui penyeliaan operasi dan teknikal. – UTUSAN