Petronas raih untung bersih RM23 bilion

Petronas raih untung bersih RM23 bilion

petronas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mencatatkan prestasi cemerlang apabila meraih untung bersih berjumlah RM23 bilion pada suku kedua (S2) berakhir 30 Jun 2022, melonjak 140 peratus berbanding hanya RM9.6 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Ia seiring dengan hasil yang lebih tinggi diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan dalam kos produk dan cukai.

Syarikat minyak dan gas nasional itu turut merekodkan lonjakan pendapatan sebanyak 63.4 peratus kepada RM93.3 bilion pada suku tersebut berbanding RM57.1 bilion yang diperoleh pada suku sama 2021, terutamanya disebabkan kesan harga yang menggalakkan ke atas semua produk dan kadar pertukaran yang positif.

Syarikat mengisytiharkan dividen RM50 bilion, dua kali ganda pembayaran berbanding tahun lepas.

Prestasi kukuh itu disebabkan terutamanya oleh kenaikan harga minyak dan gas yang berpunca da­ripada jurang bekalan yang semakin melebar dan kapasiti sistem yang semakin berkurangan.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada suku kedua 2022 juga mantap pada RM43.1 billion, meningkat ketara daripada RM23.2 bilion sebelumnya.

Aliran tunai daripada operasi (CFFO) turut meningkat kepada RM34.5 bilion berbanding RM18.4 bilion, sejajar dengan tunai lebih tinggi daripada operasi.

Sementara itu, bagi tempoh enam bulan pertama 2022, keuntungan bersih Petronas melonjak lebih dua kali ganda kepada RM46.4 bilion daripada RM18.8 bilion, seiring dengan hasil yang lebih besar berikutan arah aliran menaik dalam harga yang sebahagiannya diimbangi oleh kos produk dan cukai yang lebih tinggi.

Pendapatannya dalam tempoh itu meningkat kepada RM172.1 bilion, berbanding RM109.6 yang dicatatkan pada enam bulan pertama 2021 disokong impak harga yang menggalakkan untuk produk utama sejajar dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, lonjakan dan prestasi kukuh pada separuh pertama 2022 menunjukkan komitmen syarikat dalam melaksanakan semua langkah yang perlu untuk kekal berdaya tahan.

“Sejajar dengan strategi pertumbuhan serampang tiga mata kami dan Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050, Petronas kekal teguh dalam memastikan tenaga terus dihasilkan dan disampaikan secara bertanggungjawab dan mampan.

“Untuk tujuan ini, usaha Petronas menjurus untuk terus mengukuhkan ekosistem tenaga di mana sahaja kami beroperasi,” katanya pada taklimat media pengumuman prestasi kewangan suku kedua dan separuh pertama 2022.

EBITDA enam bulan pertama 2022 juga memulih kepada RM82.7 bilion daripada RM46 bilion dan CFFO berada pada RM62.4 bilion, berbanding RM32.7 bilion sebelumnya.

Jumlah aset Petronas bagi tempoh separuh pertama tahun ini berada pada RM699.5 billion, meningkat daripada RM635 bilion setakat 31 Disember 2021.

Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas akan terus komited untuk mencipta nilai yang menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, termasuk menyokong daya tahan ekosistem minyak dan gas tempatan serta memupuk perkongsian yang kukuh ke arah mengekalkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang maju.

“Walaupun mahukan pertumbuhan dan membuka potensi nilai yang lebih besar untuk pihak berkepentingan, kami akan tetap teguh dalam memberi kembali kepada masyarakat melalui program impak sosial yang meluas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya