Malaysia kekurangan 1.2 juta pekerja asing - Utusan Malaysia

Malaysia kekurangan 1.2 juta pekerja asing

KEKURANGAN pekerja asing menjejaskan pelbagai sektor terutama pembinaan dan pembuatan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Masalah kekurangan pekerja asing yang berlanjutan terus menjejaskan operasi dan sektor perniagaan khususnya sektor pembuatan, menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya menganggarkan Malaysia kini  kekurangan kira-kira 1.2 juta pekerja asing.

“Kekurangan itu berlaku kerana sepanjang 2020 dan 2021, pengambilan pekerja asing dibekukan manakala pekerja asing yang telah tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dihantar pulang dan tidak ada pekerja asing baharu yang menggantikan mereka.

“Itu telah menyebabkan sesetengah perniagaan dalam sektor pembuatan terpaksa menolak pesanan baharu kerana risau tidak dapat memenuhinya dan dikenakan penalti kerana tidak dapat menyiapkan projek dalam masa yang dipersetujui atas sebab kekurangan pekerja.

“Kekurangan pekerja di sektor pembuatan turut menyebabkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) terjejas teruk dan tidak dapat membekalkan barangan kepada pelanggan di dalam dan luar negara.

“Sektor pembuatan dianggarkan mengalami kekurangan kira-kira 40 peratus daripada tenaga kerja yang diperlukan manakala restoran dan kedai makan mengalami kekurangan sehingga 40,000 pekerja sementara sektor perhotelan memerlukan kira-kira 20,000 pekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah beliau, industri perladangan pula memerlukan kira-kira 72,000 pekerja lagi memandangkan industri terbabit telah mengalami kehilangan pendapatan sebanyak RM25.1 bilion setahun kerana buah sawit yang tidak dipetik akibat kekurangan buruh.

Justeru, ujarnya, kemasukan pekerja asing perlu disegerakan kerana walaupun jumlah kelulusan pengambilan pekerja asing adalah kira-kira 340,000 dan 400,000 lagi kelulusan akan dibuat pada akhir Ogos, jumlah pekerja asing yang telah dibawa masuk setakat ini hanyalah sekitar 40,000 orang sahaja.

“Bagi mengatasi masalah itu, banduan parol boleh diberi kebenaran untuk diambil bekerja. Sebagai contoh, restoran di Penang telah menulakan program untuk mengambil banduan parol.

“Kerjasama erat antara industri dan kerajaan amat diperlukan agar latihan diberi kepada banduan supaya mereka dapat diintegrasikan dengan masyarakat apabila tamat tempoh hukuman.

“Selain itu, pelarian juga hendaklah dibenarkan untuk bekerja. Ada kira kira 184,000 pelarian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan kira kira 60 peratus boleh diambil kerja.

“Automasi dan digitalisai juga perlu dilakukan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, masalah kekurangan pekerja asing membuatkan perniagaan yang telah masuk ke fasa endemik kurang rancak.

“Ada dua perkara besar yang menyebabkan masalah pengambilan pekerja asing. Pertama, pekerja asing dari Bangladesh tidak dapat masuk ke Malaysia kerana Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) tidak mesra pengguna jadi mereka tidak tahu bagaimana mahu masukkan data-data mereka.

“Kedua, Indonesia telah menyekat kemasukan pekerja mereka ke Malaysia sehingga mereka memperbaiki maklumat pekerja-pekerja yang ingin masuk ke negara ini. Kami harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN