Kumpulan Affin Bank rekod PBT RM408.5 juta separuh pertama 2022 - Utusan Malaysia

Kumpulan Affin Bank rekod PBT RM408.5 juta separuh pertama 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Affin Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) dan selepas zakat berjumlah RM408.5 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, peningkatan sebanyak 44.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pencapaian PBT yang lebih memberangsangkan bagi separuh pertama 2022 dipacu oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi serta pendapatan Perbankan Islam, selari dengan pelan pertumbuhan AIM22.

“Affin Bank dan Affin Islamic Bank terus menjadi penyumbang utama kepada Kumpulan, di mana Affin Islamic Bank merekodkan PBT yang meningkat sebanyak 70.5 peratus kepada RM147.9 juta hasil pertumbuhan pembiayaan dan elaun rosot nilai yang lebih rendah.

“Kumpulan Affin Bank akan terus berwaspada mengambil kira suasana geopolitik dan makroekonomi yang mencabar. Kami akan terus memastikan kecairan, kualiti kredit dan tahap rizab modal kami mencukupi bagi mendepani sebarang ketidaktentuan.

“Bersandarkan kepada visi untuk menjadi lebih kreatif dalam aspek inovasi dan teknologi di samping menyediakan perkhidmatan pelanggan yang tidak dapat disaingi dan mencipta nilai untuk para pemegang saham, pelanggan dan warga kerja, kami akan memperkenalkan tawaran baharu dan ditambah baik termasuk satu aplikasi perbankan telefon pintar baharu yang bakal dilancarkan pada Oktober 2022,” katanya.

Kumpulan turut mencatatkan Pendapatan Faedah Bersih (NII) berjumlah RM488.1 juta, meningkat sebanyak RM70 juta atau 16.7 peratus berbanding RM418.1 juta pada tempoh kewangan sebelumnya, disumbang oleh pertumbuhan jumlah pinjaman pada separuh pertama 2022.

Pendapatan bukan Faedah untuk tempoh sama dicatatkan pada RM306.6 juta, berkurangan sebanyak RM136.2 juta atau 30.8 peratus daripada RM442.8 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Penurunan pendapatan bukan faedah ini adalah disebabkan oleh keuntungan bersih yang lebih rendah daripada penjualan instrumen kewangan, pendapatan lain dan yuran bersih serta pendapatan komisyen.

Sehingga 30 Jun 2022, jumlah keseluruhan pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kumpulan dari tahun ke tahun telah meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM55.4 bilion, kebanyakannya disumbang oleh pertumbuhan sebanyak 21.6 peratus dalam segmen Perbankan Komuniti.

Pinjaman Perumahan telah meningkat sebanyak 22.5 peratus, manakala pinjaman Kewangan Kereta pula turut meningkat sebanyak 11.4 peratus.

Sementara itu, bagi deposit pula, Akaun Semasa Akaun Simpanan (CASA) dicatatkan pada RM13.9 bilion bagi tempoh berakhir pada 30 Jun 2022 dan nisbah CASA berada pada kadar 21.50 peratus.

Jumlah deposit daripada pelanggan kumpulan turut meningkat dari tahun
ke tahun sebanyak 19.8 peratus kepada RM64.5 bilion sehingga 30 Jun 2022 di mana inisiatif CASA yang dilaksanakan terus membuahkan hasil yang positif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya