Keuntungan Bintai Kinden 23 peratus lebih rendah - Utusan Malaysia

Keuntungan Bintai Kinden 23 peratus lebih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E), Bintai Kinden Corporation Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM968,000 bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2022, iaitu 23 peratus lebih rendah berbanding RM1.25 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.

Ia berikutan margin keuntungan kasar menurun kepada 16.45 peratus daripada 30 peratus selepas mengambil kira pelbagai pesanan daripada projek M&E yang telah siap.

Bagaimanapun, perolehan syarikat meningkat sebanyak 152 peratus kepada RM30.88 juta bagi suku dikaji berbanding RM12.26 juta pada suku sama tahun lalu, didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan kejuruteraan M&E.

Pengarah Eksekutifnya, Azri Azerai berkata, pihaknya akan terus memanfaatkan pengkhususan kejuruteraan M&E teras syarikat untuk mencari peluang di Malaysia dan di seluruh rantau ini. 

Ujarnya, lonjakan dalam aktiviti ekonomi berikutan penutupan berselang-seli selama dua tahun sebelumnya akibat Covid-19 pasti akan memberi kesan limpahan yang positif.

“Melalui anak syarikat tidak langsung kami, Johnson Medical International Sdn. Bhd., kami mempunyai niche sebagai penyedia penyelesaian siap pakai bagi infrastruktur penjagaan kesihatan kejuruteraan mudah alih, modular dan luar tapak yang kami ingin kembangkan dan di mana perkhidmatan kejuruteraan M&E kami juga boleh mendapat manfaat. 

“Melalui anak syarikat kami, Bintai Energy Sdn. Bhd., kami telah sibuk meneroka peluang untuk mengedarkan bebibir dan produk paip lain yang berkaitan, serta yang terbaharu perjanjian kerjasama perniagaan dengan PT Raintech Indo Energi,” katanya dalam kenyataan.

Perniagaan kejuruteraan M&E syarikat menyumbang RM26.43 juta untuk suku pertama tahun kewangan 2023, iaitu peningkatan sebanyak 203.72 peratus berbanding RM8.7 juta pada suku pertama 2022. 

Perniagaan konsesi membawa masuk RM3.6 juta, peningkatan kecil berbanding RM3.55 juta. 

Bintai Kinden mengendalikan keseluruhan penginapan dalam kampus untuk Universiti Melaka sebagai sebahagian daripada konsesi 25 tahun daripada Kolej Teknologi Islam Melaka Berhad (KTIMB). 

Sehingga 31 Mac lalu, KTIMB berhutang kepada Bintai Kinden sejumlah RM30.18 juta daripada konsesi itu.

Bintai Energy juga baru-baru ini telah diberikan diberi lesen oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di bawah Kod Kategori Kerja dan Peralatan Standard untuk syarikat membida projek minyak dan gas yang berada di bawah Petronas. 

Buku pesanan Bintai Kinden meliputi M&E serta projek minyak dan gas berjumlah RM120.43 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya