Industri dron berpotensi sumbang lebih RM54 bilion - Utusan Malaysia

Industri dron berpotensi sumbang lebih RM54 bilion

MOHD. SHAHAR ABDULLAH (kiri) menyaksikan perjanjian antara Rosihan Zain Baharudin (dua dari kiri) dan Zulfiqar Zainudin (tiga dari kanan) sambil diperhatikan oleh Mohd. Hairi Mad Shah (kanan) dan Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Futurise Sdn. Bhd., dan IIB Ventures Sdn Bhd., di Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Industri dron di negara ini mempunyai potensi yang besar serta mempu memberi sumbangan sehingga RM54.26 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, jumlah itu dianggarkan sebanyak 4.3 peratus bagi pasaran global yang dianggarkan RM173.46 bilion.

Justeru, potensi itu pasti memberi ruang dan peluang dalam perkembangan sokongan terhadap industri dron, bukan hanya di dalam negara, malah di rantau ASEAN.

“Pasaran dron global kita jangka melonjak kepada RM173.46 bilion pada 2026. Ini bermakna Malaysia kena mengambil kesempatan dalam perkembangan industri ini bagi tempoh empat tahun ke depan.

“Sudah pasti kita harus membangunkan bakat anak muda tempatan supaya mereka dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pemain industri di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman membangunkan sukan dron antara Futurise Sdn. Bhd., dengan Iskandar Investment Berhad (IIB) di Medini, di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.

IIB menerusi IIB Ventures Sdn. Bhd., dan Futurise akan membangunkan program sukan dron melalui Akademi Kecemerlangan Sukan Dron (Aksadron), salah satu usaha membangunkan industri dron di negara ini.

Kerjasama itu akan menentukan program dan acara Aksadron ke dalam Zon Dron dan Robotik (DRZ Iskandar) yang terletak di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahar berkata, inisiatif tersebut diharap dapat menarik minat anak muda terhadap medium sukan berasaskan teknologi.

Beliau mengakui golomgan muda pada masa ini dilihat kurang cenderung dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan diharap pengembangan industri dron dapat menarik mereka.

“Saya yakin industri ini dapat berkembang dengan lebih besar melingkari industri kecil seperti penerbitan, penyiaran dan bengkel dron. Ia juga mampu meneroka industri baharu antara penghasilan dron yang lebih murah.

“Saya sudah bertemu dengan pemain industri dan menjelaskan perlu ada enjin dron yang dihasilkan dalam negara, tetapi keupayaan itu perlu dipelopori oleh Futurise.

“Sudah pasti hab di selatan akan dikendalikan IIB, kita sudah ada hab sukan dron di Kuantan, Pahang dan berbincang dengan pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi potensi hab di wilayah utara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya