Harga minyak jatuh selepas melonjak 4% - Utusan Malaysia

Harga minyak jatuh selepas melonjak 4%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Harga minyak jatuh semalam, berehat daripada lonjakan hampir 4.0 peratus pada hari sebelumnya berikutan kebimbangan pengurangan pengeluaran yang akan diputuskan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+).

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 21 sen atau 0.2 peratus  kepada AS$100.01 (RM448.79) setong selepas meningkat 3.9 peratus pada Selasa.

Kontrak hadapan minyak mentah West Texas Intermediate Amerika Syarikat (AS) turun 10 sen atau 0.1 peratus pada AS$93.64 (RM420.21) setong, setelah melonjak 3.7 peratus pada hari sebelumnya.

Kedua-dua kontrak melonjak pada Selasa selepas pemimpin OPEC Arab Saudi memberi isyarat kemungkinan akan memperkenalkan pemotongan untuk mengimbangi pasaran yang disifatkan sebagai ‘skizofrenia’, dengan pasaran kertas dan fizikal semakin terputus.

Bagaimanapun, potensi pengurangan pengeluaran OPEC+ mungkin tidak akan berlaku dan mungkin ia selaras dengan kembalinya Iran ke pasaran minyak sekiranya negara itu mencapai perjanjian nuklear dengan barat, menurut sembilan sumber OPEC.

Seorang pegawai kanan AS memberitahu Reuters, Iran telah menggugurkan beberapa tuntutan utamanya untuk membangkitkan semula perjanjian.

Ketua Penganalisis Fujitomi Securities, Kazuhiko Saito berkata, rali pada Selasa adalah berlebihan kerana ramai pelabur tahu ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk minyak Iran mengalir ke pasaran antarabangsa walaupun persetujuan untuk memulihkan perjanjian nuklear Tehran 2015 telah dibuat.

“Itu bermakna OPEC+ tidak akan mengurangkan pengeluaran dengan begitu cepat. Namun, tiada banyak ruang untuk kemerosotan pasaran berikutan permintaan bahan api pemanasan yang kukuh untuk musim sejuk.

“Rali baru-baru ini dalam pasaran minyak pemanas AS dan lonjakan harga gas asli meningkatkan jangkaan untuk permintaan minyak pemanas yang lebih kukuh dan bekalan minyak mentah yang lebih ketat,” katanya.

Harga gas AS melonjak melebihi AS$10 (RM44.88) buat kali pertama dalam tempoh kira-kira 14 tahun disebabkan lonjakan harga di Eropah, di mana bekalan ketat berterusan.

Susulan bekalan yang ketat, stok minyak mentah AS jatuh kira-kira 5.6 juta tong bagi minggu berakhir 19 Ogos, menurut sumber pasaran berbanding anggaran penganalisis iaitu penurunan sebanyak 900,000 tong dalam tinjauan Reuters.

Bagaimanapun, inventori petrol meningkat kira-kira 268,000 tong, manakala stok sulingan meningkat kira-kira 1.1 juta tong.

Minyak telah melonjak pada 2022, hampir cecah paras tertinggi sepanjang masa pada Mac iaitu sebanyak AS$147 (RM659.66) selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine memburukkan lagi kebimbangan bekalan.

Kebimbangan tentang kemelesetan global, kenaikan inflasi dan permintaan yang lebih lemah telah menjejaskan harga. -AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya