PETALING JAYA: Kementerian Perusahan Perladangan dan Komoditi optimis pasaran sarung tangan getah negara akan terus berkembang dengan nilai perolehan eksport negara bagi industri tersebut pada tahun ini diunjurkan pada RM24 bilion.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya kekal positif dan industri tersebut dijangka tumbuh kira-kira 10 hingga 12 peratus dari tahun ke tahun walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik.
Katanya, ini didorong oleh budaya menjaga kebersihan yang telah diterapkan dalam diri sepanjang pandemik Covid-19 akan terus diamalkan oleh orang ramai.
“Jadi, sarung tangan getah digunakan sebagai sebahagian daripada gaya hidup kerana orang ramai mementingkan kebersihan dan akan meningkatkan permintaan dalam pasaran.
“Selain itu, kita juga akan mengenal pasti negara-negara yang boleh ditembusi untuk pasaran sarung tangan getah yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan 18 penaja untuk Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa 2022 (IRGCE 2022) di sini, semalam.
IRGCE kali ke-10 tersebut akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 hingga 8 September depan.
Sementara itu, Presiden MARGMA, Dr. Supramaniam Shanmugam berkata, pihaknya menyemak turun unjuran global sarung tangan dunia pada tahun ini kepada 399 bilion berbanding 452 bilion yang diunjurkan pada awal tahun.
Menurutnya, semakan semula tersebut dilakukan setelah setelah mengambil kira situasi terkini dan ancaman virus Omicron yang tidak terlalu tinggi.
“Unjuran awal tersebut dibuat semasa awal kemunculan varian Omicron. Namun, kita kami dapati varian tersebut tidaklah memberi terlalu besar yang dijangkakan.
“Selain itu, kes cacar monyet juga masih rendah. Jika ada virus baharu mungkin permintaan akan naik lagi,” ujarnya. – UTUSAN