HANYA bermula dengan minat, usahanya kini semakin menampakkan hasil dalam industri seni kreatif dan kraftangan negara.
Malah segelintir produk yang sebelum ini dipandang sepi mula diberi perhatian dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
Paling penting, produk kraftangan dan seni kreatif di negara ini mempunyai peluang cerah untuk diketengahkan di negara luar pada satu masa nanti.
Itu antara misi utama Ketua Pegawai Operasi (COO) Craft La, Fred Rizal yang berhasrat menjadi pelopor utama dalam mengembangkan produk seni kreatif dan kraftangan di negara ini.
Selain itu katanya, syarikat yang baru ditubuhkan bersama rakan seperjuangan, Paul Chan dan Terrence Chew ini akan berperanan sebagai platform e-pembelajaran khusus membabitkan sektor kraftangan dan seni kreatif.
“Syarikat kami sentiasa mencari pembuat produk kraftangan atau apa sahaja yang berkaitan seni kreatif untuk diketengahkan menerusi penghasilan video yang kemudiannya akan dijual di pasaran antarabangsa.
“Kita bukan sahaja mahu tonjolkan produk yang ada, sebaliknya kita mahu pastikan masyarakat tahu cara yang betul untuk memasang atau menggunakan produk berkenaan. Sebagai contoh ketupat daun palas. Kita akan tunjukkan satu persatu bagaimana mahu buatkan lipatan yang betul,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Setakat ini, Craft La telah menghasilkan lebih 90 produk berkaitan kraftangan dan seni kreatif yang terdiri dari produk tradisional dan moden yang meliputi pelbagai bahasa seperti bahasa melayu, inggeris, mandarin dan vietnam.
Dalam pada itu, Fred berkata, dia tidak terlepas dengan pelbagai cabaran ketika awal-awal penubuhan Craft La sejak lebih setahun lalu.
“Adakalanya kami perlu membuat rakaman video yang memakan masa lama lebih-lebih lagi bagi pengusaha kraftangan yang tidak kekok apabila bercakap di hadapan kamera.
“Selain itu, masih ramai yang tidak tahu kewujudan kami untuk mengetengahkan produk-produk mereka yang berasaskan kepada kraftangan secara percuma menerusi video,” ujarnya.
Antara produk yang berjaya diketengahkan setakat ini termasuklah tanjak, lukisan, jahitan dan pelbagai hasil berkaitan seni serta kraftangan.
Tambah Fred, dia sedang berusaha untuk mengetengahkan segala produk seni dan kraftangan ke negara yang berpotensi besar seperti China dan Taiwan pada masa akan datang.
“Dengan peningkatan teknologi pada zaman sekarang, ia bukan sesuatu yang mustahil terutama menerusi platform e-dagang.
“Apa yang paling penting, kita mahu negara lain tahu Malaysia mempunyai pelbagai produk hasil kepelbagaian etnik dan ia sudah semestinya sesuatu yang unik,” jelasnya.
Syarikatnya juga telah menjalinkan kerjasama dengan agensi dalam negara seperti Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara, Kraftangan Malaysia dan pelbagai syarikat luar negara bagi membantu semua pengusaha kraftangan di negara ini.
Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari www.craftla.co.