PETALING JAYA: Citaglobal Berhad (dahulunya dikenali sebagai WZ Satu Berhad) memperoleh kontrak untuk kerja reka bentuk, pembinaan dan kelengkapan Fasa 1 Pelabuhan Darat Perlis (PIP) berkontrak RM373.5 juta.
Kontrak itu diperolehi melalui anak syarikat milik penuhnya Citaglobal Land Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai WZS BinaRaya Sdn. Bhd.), yang telah memeterai Perjanjian Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (perjanjian EPC) dengan Inland Port Perlis Sdn. Bhd. (IPPSB).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat mendedahkan bahawa Citaglobal akan melaksanakan kontrak EPC itu untuk tempoh 24 bulan, bermula dari tarikh pemilikan tapak.
“Kontrak itu telah diperolehi oleh Citaglobal melalui bidaan tender yang dijalankan oleh IPPSB. Dengan pemerolehan itu, buku pesanan sedia ada Citaglobal pada 30 Jun 2022 meningkat hampir dua kali ganda daripada RM381 juta kepada kira-kira RM755 juta.
“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan syarikat dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, 31 Disember 2023 dan 31 Disember 2024,” katanya.
Mengulas perkara itu, Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia adalah satu lagi pencapaian penting bagi Citaglobal dan bukti keupayaan syarikat untuk mendapatkan projek bernilai tinggi.
Kata beliau, Citaglobal kini berada di landasan kukuh pada asasnya, selepas tempoh penyatuan dan penyelarasan perniagaan dan operasinya.
“Walaupun kami berhasrat untuk melaksanakan buku pesanan kami secekap mungkin, visi dan tumpuan keseluruhan kami adalah untuk mengukuhkan lagi kepakaran Syarikat dalam pembinaan, telekomunikasi dan tenaga boleh diperbaharui. Citaglobal berada di peringkat untuk mencipta kejayaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Citaglobal, IPPSB adalah pemaju induk untuk pembangunan Pelabuhan Darat Perlis di atas tanah seluas 500.28 ekar.
Katanya, PIP adalah sebahagian daripada pelan pembangunan utama oleh Perlis untuk menambah baik infrastruktur pengangkutan di kawasan itu menerusi terminal pelabuhan darat bagi mengendalikan pemuatan, pemunggahan dan pengangkutan semula kontena kargo antara Malaysia dan Thailand.
Ia adalah sebahagian daripada pembangunan keseluruhan yang sedang dimajukan oleh Perlis dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). – UTUSAN